Waspada perosak perpaduan umat
Updated: Dec 13, 2021
KEJAYAAN Rasulullah SAW menyatukan umat merupakan contoh dan teladan berpandukan wahyu petunjuk Allah SWT yang wajib diikuti. Namun begitu, kaum yang paling dimurkai Allah SWT dalam kalangan Yahudi Madinah sangat marah kerana dengki dan dendam mereka terhadap Islam dan Rasulullah SAW. Sekalipun mereka mengetahui bahawa pelantikan Baginda SAW adalah pilihan Allah SWT bersama petunjuk-Nya. Malah, berita kelahiran Baginda SAW telah disebutkan dalam kitab suci semua agama seperti Yahudi, Kristian dan agama-agama yang lain. Setelah itu, pemimpin Yahudi yang terkenal dengan kepintarannya cuba melakukan provokasi supaya perpaduan itu dimusnahkan. Sasaran pertama mereka ialah suku Aus dan Khazraj yang pernah berperang pada zaman sebelum Islam atas semangat ‘asabiyyah (fanatik) kaum masing-masing. Kedua-dua suku tersebut memeluk Islam setelah mendapat maklumat daripada para pendeta Yahudi berkenaan tanda-tanda nabi akhir zaman yang terdapat pada diri Rasulullah SAW. Maka, mereka bersatu bersama Islam, sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan fanatik Yahudi.
Kumpulan Yahudi itu melaksanakan pelbagai cara bagi memecahbelahkan perpaduan umat Islam, antaranya ialah melakukan provokasi dengan menonjolkan kepahlawanan suku masing-masing (Aus dan Khazraj). Maka, dibandingkan siapakah yang lebih hebat pada masa berperang dahulu, sehingga mengapi-apikan pertengkaran yang mahu mengheret mereka untuk kembali berperang sesama sendiri.
Rasulullah SAW dengan segera datang untuk menyedarkan mereka supaya kembali kepada petunjuk Allah SWT dengan bersabda:
أَبِدَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ وَأَنَا بَيْنَ أَظْهُرِكُمْ بَعْدَ إِذْ هَدَاكُمُ اللَّهُ إِلَى الْإِسْلَامِ.
“Adakah kalian mahu kembali semula kepada jahiliah (yang sesat) itu, padahal aku bersama kalian setelah Allah memberikan petunjuk-Nya kepada kalian dengan Islam.” (Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tabari dalam Tafsir al-Tabari, jld. 5, ms. 627 dan lain-lain sumber)
Seterusnya Baginda SAW menyebutkan wahyu Allah SWT yang diturunkan, firman-Nya:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ١٠٣
“Dan berpeganglah kalian semua kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kalian bercerai-berai, dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepada kalian ketika kalian dahulu (ketika jahiliah) saling bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hati kalian, lalu kalian kerana ni‘mat Allah menjadi orang-orang yang bersaudara; dan kalian telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kalian daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kalian, agar kalian mendapat petunjuk.” (Surah Ali ‘Imran: 103)
Allah SWT memerintahkan orang-orang yang beriman supaya mematuhi Rasulullah SAW dan mengambil teladan daripadanya. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا٢١
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan yang baik) Hari Kiamat, serta dirinya banyak menyebut dan mengingati Allah.” (Surah al-Ahzab: 21)
Firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا٣٦
“Dan tidaklah patut bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, (dan tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri (yang lain) mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dirinya telah tersesat dengan kesesatan yang nyata.” (Surah al-Ahzab: 36)
Keimanan yang ikhlas akan menghilangkan perasaan marah dan permusuhan yang membakar semangat yang salah, seterusnya menjadikan umat Islam bersatu padu.
Pendekatan Rasulullah SAW ialah mendahulukan penyatuan umat Islam yang terdiri daripada kalangan Muhajirin, Ansar daripada kalangan Aus dan Khazraj, serta semua kabilah-kabilah lain dan individu yang menganut Islam. Perkara ini sangat mustahak supaya umat Islam yang bersatu menjadi tonggak kepada kehidupan masyarakat majmuk.
Kemudian, diikuti oleh kalangan bukan Islam yang tidak melampau (ekstrem) daripada pelbagai kaum, sama ada Arab mahupun bukan Arab. Termasuklah daripada kalangan pelbagai agama bukan Islam seperti Yahudi, Kristian dan Musyrikin.
Petunjuk Rasulullah SAW yang berpandukan wahyu itu ialah cahaya yang menerangi perjalanan hidup manusia sepanjang zaman. Inilah yang wajib dianuti dan diamalkan oleh umat Islam seluruhnya yang membawa mesej Islam memimpin masyarakat manusia yang majmuk sepanjang zaman.
Hal ini demikian kerana, Islam merupakan rahmat kepada seluruh alam berkonsepkan manusia ‘satu keluarga’ dan adil terhadap semua. Bahkan, Islam menjadi pemimpinnya disebabkan prinsip aqidah beriman dan berakhlak yang tiada ikatannya dalam mana-mana agama dan ideologi yang lain.
Agama dan ideologi lain memisahkan urusan kehidupan dunia daripada agama. Pendekatan salah beginilah yang telah dilaksanakan oleh penjajah dahulu yang dipengaruhi oleh fahaman Zionis (fanatik Yahudi) yang sengaja mewujudkan perpecahan umat.
Kumpulan Yahudi kini bergerak di bawah pertubuhan atau organisasi bernama Freemason dan Zionis yang tersusun dan berstrategi melalui politik, ekonomi, media dan gerakan massa di seluruh dunia. Kumpulan mereka itu mempengaruhi seluruh masyarakat manusia di peringkat negeri mahupun antarabangsa dengan pembiayaan yang sangat besar.
Umat Islam menjadi sasaran utama mereka, termasuklah di negara kita ini. Terdapat banyak negara besar yang dapat dipengaruhinya menjadi dalang bagi merosakkan umat, semata-mata demi menguasai dunia untuk mereka sahaja, bukan untuk seluruh manusia.
Kini, kita telah mencapai kemerdekaan dengan penyusunan masyarakat majmuk yang dicipta oleh bekas penjajah dahulu, bertujuan meneruskan agenda penjajahan dalam bentuk baharu.
Politik perpecahan terus diulang sekali lagi, sehingga berlaku dalam hubungan antara kaum dan agama, bahkan perpecahan juga berlaku dalam satu kaum dan satu agama yang dapat kita saksikan pada hari ini. Benarlah firman Allah SWT:
وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّى يَرُدُّوكُمْ عَنْ دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا…٢١٧
“Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kalian sehingga mereka (mahu) memalingkan kalian daripada agama kalian (meninggalkan Islam), seandainya mereka mampu (melakukan yang demikian)…” (Surah al-Baqarah: 217)
Hari ini kita di Malaysia berjaya menyatukan umat melalui pendekatan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).
Permulaannya dengan perpaduan Islam dan Melayu serta bumiputera dengan gagasan Muafakat Nasional (MN). Seterusnya mengumpulkan tiga buah parti Melayu terbesar (UMNO, PAS dan BERSATU) bersama rakan-rakan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menyempurnakan usaha bagi menukar kerajaan secara Demokrasi Berparlimen.
Seterusnya bergerak ke arah penyelesaian masyarakat majmuk, maka mestilah diikuti oleh penyertaan daripada kalangan parti bukan Melayu dan bukan Islam dengan menubuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Melayu dan Islam itu bukan sahaja melibatkan UMNO dan PAS, tanpa BERSATU. Perpaduan tersebut tidak lengkap dan tidak akan mencapai tujuan tanpa kebersamaan tiga parti Melayu terbesar termasuklah BERSATU bagi mencapai hikmahnya.
Oleh itu, keanggotaan Muafakat Nasional (MN) tidak terhad kepada UMNO dan PAS ataupun BERSATU sahaja. Adapun perpaduan umat pula bukan hanya merangkumi kelompok Melayu dan Islam sahaja, tetapi mestilah juga meliputi seluruh masyarakat majmuk termasuklah golongan bukan Islam dan bukan Melayu.
Kita menyaksikan selepas kejayaan mengambil alih Putrajaya (Kerajaan Persekutuan), betapa peranan yang dipergunakan oleh pihak tertentu yang gilakan kuasa untuk menggagalkan perpaduan umat. Pada masa yang sama, golongan tersebut berusaha untuk memecahbelahkannya dengan provokasi yang dicipta atau diolah mengikut perancangannya yang jahat terhadap umat.
Perkara tersebut dilakukan semata-mata demi memenuhi kehendak dan kepentingan peribadi. Antara tindakan yang dilakukan ialah mengadu domba pada titik perbezaan yang wujud, walaupun perkara tersebut tidak penting dan meninggalkan perkara yang lebih penting.
Selain itu, turut mempergunakan peranan media sebagai tentera upahan mereka dengan cara putar belit berita supaya terpesong dan berlaku salah faham. Begitu juga mencipta berita palsu yang diusahakan supaya bebas daripada sebarang tindakan undang-undang ataupun mengubah kepada memenuhi agenda peribadi dan kelompok, bukan lagi masyarakat majmuk dan bukan juga perpaduan umat.
Allah SWT memberikan amaran betapa kumpulan perosak itu berada dalam masyarakat dan mempengaruhi kalangan yang lemah kefahamannya. Sehingga menyebabkan ada kalangan yang tergoda dengan permainan berita berbentuk provokasi dan isu-isu yang merosakkan umat. Hal ini disebutkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:
لَوْ خَرَجُوا فِيكُمْ مَا زَادُوكُمْ إِلَّا خَبَالًا وَلَأَوْضَعُوا خِلَالَكُمْ يَبْغُونَكُمُ الْفِتْنَةَ وَفِيكُمْ سَمَّاعُونَ لَهُمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ٤٧
“Jika mereka berangkat bersama-sama kalian, tidaklah mereka tidak menambahkan untuk kalian melainkan kerosakan belaka, dan tentulah mereka akan bergegas maju ke celah-celah barisanmu, untuk mengadakan hasutan dalam kalangan kalian; sedang antara kalian ada orang-orang yang amat suka mendengar perkataan (hasutan) mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.” (Surah al-Tawbah: 47)
Perpaduan dapat diwujudkan dengan pertemuan yang memberikan penekanan kepada titik persamaan. Pada masa yang sama bertasamuh dalam perbezaan dan pertelingkahan. Hal ini demikian kerana, perpaduan umat wajib diutamakan lebih daripada agenda sampingan yang lain.
Persetujuan telah dibuat untuk menghimpunkan ketiga-tiga parti terbesar Melayu iaitu UMNO, PAS dan BERSATU. Penyertaan BERSATU ke dalam MN adalah untuk melayari perubahan dalam negara secara bersama, tetapi malangnya ia tidak ditepati dan tidak ditunaikan.
Sedangkan Allah SWT melabelkan nama fasiq kepada seseorang Muslim yang terlibat bersama dan berperanan dalam media untuk melakukan provokasi. Golongan tersebut dikenakan hukuman tidak sah memegang apa-apa jawatan yang penting dan tidak sah menjadi saksi dalam semua urusan yang penting.
Bahkan, umat Islam diperintahkan supaya berwaspada terhadap golongan ini, sebagaimana firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ٦
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kalian orang fasiq membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, agar kalian tidak menimpakan suatu musibah ke atas suatu kaum dengan sebab kejahilan kalian (mengenainya), sehingga menyebabkan kalian menyesal atas perbuatan yang telah kalian lakukan itu.” (Surah al-Hujurat: 6)
Golongan yang membuat kacau daun itu tidaklah besar jumlahnya, tetapi suaranya kuat sehingga boleh memekakkan telinga dan mengaburkan mata sebahagian daripada umat yang mahukan perpaduan dilaksanakan dengan berjaya. Mereka mendapat dukungan musuh daripada dalam dan luar yang sentiasa menolak kebaikan dan menarik keburukan terhadap kita semua.
Sesungguhnya menjadi suatu hikmah yang besar, apabila Allah SWT mewahyukan Surah al-Nas yang diletakkan sebagai surah terakhir dalam al-Quran yang disusun mengikut tertib surahnya. Firman Allah SWT:
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ١ مَلِكِ النَّاسِ٢ إِلَهِ النَّاسِ٣ مِنْ شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ٤ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ٥ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ٦
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku berlindung kepada Tuhan (Allah yang memelihara dan menguasai) sekalian manusia.’ (1); ‘Tuhan yang menguasai manusia.’ (2); ‘Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia.’ (3); ‘Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang bersembunyi.’ (4); ‘Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam hati manusia.’ (5); ‘(Iaitu pembisik) daripada (golongan) jin dan manusia.’ (6).” (Surah al-Nas: 1-6)
Justeru, kenalilah siapakah perosak perpaduan umat dan janganlah sekali-kali terpengaruh dengannya. Seterusnya, singkirkan makhluk perosak perpaduan umat yang ada dalam masyarakat kita kerana perkara itu sangat penting.
Firman Allah SWT:
وَيَقُولُونَ طَاعَةٌ فَإِذَا بَرَزُوا مِنْ عِنْدِكَ بَيَّتَ طَائِفَةٌ مِنْهُمْ غَيْرَ الَّذِي تَقُولُ وَاللَّهُ يَكْتُبُ مَا يُبَيِّتُونَ فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلًا٨١
“Dan mereka (golongan munafiq) mengatakan: ‘(Kewajiban kami hanyalah) taat.’ Kemudian, apabila mereka telah pergi daripada majlismu, sebahagian daripada mereka mengatur perancangan lain pada malam hari (mengambil keputusan) yang lain daripada apa yang telah mereka katakan tadi (untuk taat). Sedang Allah (memerintahkan malaikat) menulis apa yang mereka rancangkan pada malam hari itu; maka berpalinglah kamu (wahai Muhammad) daripada mereka, dan bertawakallah kepada Allah; kerana cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang memeliharamu daripada angkara mereka).” (Surah al-Nisa’: 81)
ABDUL HADI AWANG Presiden PAS
留言