Tragedi politik Melaka, krisis yang dirancang dengan teliti
Matha Ahmad
Pada pandangan sesetengah Penganalisis Politik, krisis politik di Melaka ketika ini masalah dicari sendiri susulan ketidakmampuan Ahli Parti menyelesaikan masalah dalaman. Sikap berpuak UMNO dan kegagalan kepimpiman parti di peringkat nasional untuk mengawal perselisihan dalaman telah melemahkan genggaman parti dalam pentadbiran di peringkat negeri.
Kerajaan Melaka tumbang apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka iaitu Datuk Seri Idris Harun (BN sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundur), Datuk Norhizam Hassan Baktee (BEBAS-Pangkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas) mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman sebagai Ketua Menteri ke-12.
Hakikatnya, krisis politik Melaka adalah krisis yang dirancang dengan teliti. Ada hubungkait dengan kluster Mahkamah dan tidak dinafikan dengan penglibatan Kluster Mahkamah dalam kancah politik yang panjang, menjadikan mereka cukup bijak untuk mengatur strategi politik. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib sebenarnya sedang memberi isyarat kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa senario krisis politik di Melaka boleh juga berlaku terhadap pentadbirannya.
Jika melihat kepada tindak-tanduk Presiden UMNO itu semasa menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, kebarangkalian episod sama boleh berulang kepada Ismail Sabri sekiranya kehendak mereka yang dikatakan kumpulan ‘kluster mahkamah’ tidak dituruti.
Harus diingat, penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen (MP) UMNO sebelum ini menjadi punca kepada kejatuhan kerajaan PN dan skrip sama digunakan di Melaka, namun situasi yang janggal berlaku kerana ia melibatkan pertembungan sesama wakil rakyat UMNO.
Kata-kata Zahid dalam Dewan Rakyat semalam mempunyai maksud tersirat apabila mengatakan kesediaannya melihat kerajaan negeri Melaka dijatuhkan dan memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri diadakan.
Zahid dilihat sedang bermain kata-kata yang seakan memberi amaran kepada Ismail Sabri bahawa nasib sama akan menimpanya jika beberapa MP UMNO menarik sokongan terhadapnya seperti yang berlaku di Melaka.
Najib dan Zahid mungkin sedang merancang memasuki semula kerajaan menerusi pintu belakang dan terbuka kepada kemungkinan UMNO berkerjasama dengan PH secara sulit melalui Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya menjatuhkan Tan Seri Muhyuddin Yassin dan mangsa seterusnya pasti Datuk Seri Ismail Sabri.
Pada UMNO ketika ini, DAP dan PKR bukan musuh politik utama mereka. Bagi memastikan UMNO terus kekal berkuasa, rakan sekutu mereka, iaitu BERSATU dan PAS yang membolehkan mereka membentuk Kerajaan "keluarga Malaysia" adalah musuh utamanya. Kerjasama UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional yang kononnya demi pernyatuan Melayu, berjaya melemahkan BERSATU dengan merampas beberapa kerajaan negeri yang dipimpin oleh BERSATU sehinggalah ke kerajaan pusat. Maka tiba masanya UMNO mula menjarakkan diri dengan PAS dengan menyatakan Muafakat Nasional tidak lagi wujud.
Untuk rekod, Zahid kini sedang terhimpit dengan kes mahkamah yang sedang perbicaraan dan berkemungkinan keputusan muktamad akan diputuskan dalam masa terdekat. Kes mahkamah yang paling dekat sedang dihadapi Zahid ketika ini adalah bersabit 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan pertuduhah rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akal Budi. Pihak pendakwaan sedang mengemukakan hujahan di Mahkamah Tinggi ketika ini. Yang peliknya, Zahid langsung tidak cuba menghalang kerajaan Melaka daripada jatuh ke pihak pembangkang, malah seakan-akan merelakan tindakan dua ADUN UMNO yang menarik sokongan.
Ismail Sabri perlu melakukan sesuatu sekiranya tidak mahu episod di Melaka berlaku terhadap kerajaan pimpinannya ketika ini, jika tidak berkemungkinan beliau akan jadi PM tersingkat dalam sejarah negara.
Satu lagi krisis politik bukan sesuatu yang baik kepada rakyat yang sudah cukup susah kehidupan mereka ketika ini ekoran krisis kesihatan yang melanda negara. Rakyat mahu hidup dengan normal secepat mungkin dan mencari pendapatan untuk menampung keluarga, mereka tidak lagi menghiraukan ahli politik yang masih membicarakan hal kuasa demi kepentingan politik diri sendiri.
Ketika negara sedang memasuki fasa pemulihan, satu lagi krisis politik hanya akan menyebabkan segala perancangan untuk membantu rakyat akan terjejas. Atau UMNO sebenarnya sudah tidak lagi menghiraukan hal rakyat dan mahu menjadi dominan tanpa memikirkan soal kebajikan rakyat lagi, atau UMNO kini lebih memikirkan diri sendiri berbanding hal rakyat?
Matharuzaman bin Haji Ahmad.
Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Pontian.
Comentarios