Tomok, Wany Hasrita antara artis yang dilantik sebagai Duta Anti-Scam JSJK
KUALA LUMPUR,14 Sept : Seramai 104 Pemimpin Pendapat Utama (KOL) terdiri daripada artis, usahawan, agamawan, pegawai polis, pempengaruh, penggiat seni dan atlet dilantik sebagai Duta Anti-Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) pada majlis perlantikan yang berlangsung di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.
Duta-duta tersebut akan bertindak sebagai jurucakap Kempen Anti-Scam bagi pihak JSJK untuk menyebarkan kesedaran tentang sindiket penipuan yang berleluasa di negara ini.
Seramai 76 KOL adalah lantikan JSJSK manakala 28 orang lagi di bawah naungan Multimedia Creative Solution Sdn Bhd (MCS) selaku rakan strategik JSJK untuk kempen tersebut. Kesemua figura tersebut dipilih kerana mempunyai pengikut yang ramai bagi memudahkan usaha tersebut sampai kepada kumpulan sasaran.
Majlis perlantikan Duta Anti-Scam JSJK disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam majlis yang turut dihadiri oleh Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Mohd Kamaruddin Md Din serta Pengarah Urusan MCS, Datuk Steven Lim Boon Siong.
"Sekarang ini kebanyakkan scammer yang kita lihat mereka berubah. Daripada menggunakan taktik konvesional kepada mereka berubah kepada kaedah lain seperti mengambil alih akaun sosial media kemudiannya membuat beberapa perkara yang menyebabkan kita mudah tertipu dengan tindakan tersebut.
"Ada yang menyamar menjadi pemberi perkhidmatan internet dan seumpamanya. Kadang mereka mengatakan bahawa kita punya akaun ada masalah.. itupun satu perkara juga. Kalau kita tidak pasti kita putuskan sahaja panggilan tersebut," kata Acryl dalam sidang media yang diadakan selepas majlis tersebut di sini.
Sementara itu, Datuk Steven Lim turut menzahirkan rasa terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak PDRM kepada MCS dalam jalinan kerjasama yang diwujudkan untuk menangani masalah anti-scam di negara ini.
"Saya berbesar hati atas kepercayaan JSJK terhadap MCS untuk menjadi rakan strategik mereka dan turut membantu mencadangkan seramai 28 KOL kepada JSJK untuk sebagai duta Kempen Anti-Scam.
"Hampir setiap hari kita membaca mengenai sindiket penipuan seperti Macau Scam dan Love Scam di media, mangsa terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang," jelas Lim.
Antara artis yang dipilih sebagai Duta Anti-Scam JSJK termasuklah Tomok, Wany Hasrita, Khai Bahar, Hael Husaini dan Black Hanifah.
Astro Awani
Comentarios