Tidak bermakna yang angkat bendera putih itu tidak mengangkat tangan berdoa
Negara kita tidak pernah lekang daripada isu demi isu daripada yang paling remeh hinggalah yang paling sukar diselesaikan malah yang terbaru, isu mengangkat bendera putih telah menimbulkan polemik di dalam kalangan masyarakat, tidak kiralah rakyat marhaen, orang politik, pemimpin negara malah turut menjadi gurau senda anak-anak yang masih dibangku sekolah rendah, walaupun initpatinya tidaklah mereka ketahui.
Mengibarkan bendera putih sudah lama dipraktiskan dan lebih sinonim sebagai tanda menyerah kalah terutamanya buat perajurit-perajurit yang terlibat dalam peperangan. Ada juga yang mempercayai tradisi mengibarkan bendera putih ini telah diguna pakai oleh empayar Rom dan China lagi sejak era Dinasti Han Timur pada sekitar 220 Masihi lagi.
Memetik laporan Insider, simbol dan isyarat ini dipercayai telah wujud lebih lama dan dipercayai bermula dari era Dinasti Han Timur. Menerusi catatan buku Histories yang ditulis oleh Cornelius Tacitus, seorang pengarang buku dari Rom menyatakan isyarat tersebut merujuk kepada Pertempuran Cremona Kedua yang terjadi antara Vitellia dan Vespasia pada tahun 69.
Ketika itu, bendera putih digunakan dan dijadikan sebagai simbolik buat para prajurit menyerah kalah dalam sesebuah pertempuran. Bukan itu sahaja, ahli sejarah berpendapat motif warna putih digunakan di medan perang kerana ianya kelihatan jelas oleh pihak lawan di saat pertempuran sedang berlaku.
Selain itu, dalam konteks peperangan pula, warna putih dianggap sebagai gencatan senjata dan ajakan kepada rundingan damai ketika dalam peperangan. Malah, di dalam peperangan, petugas-petugas kesihatan akan menggunakan bendera berwarna putih untuk mengambil perajurit yang tercedera di medan perang dan merawat mereka di tapak atau khemah perubatan.
Di China, penggunaan warna putih adalah simbolik kepada kedukaan dan kematian yang terjadi untuk berkabung. Malah, warna putih dianggap sebagai sebuah kesedihan yang dialami rakyat China kerana kekalahan pertempuran atau perlawanan.
Sementara itu, menurut History, Livy yang merupakan seorang Penyusun Sejarah Rom Kuno menggambarkan sebuah Kapal Carthaginian yang dihiasi dengan bulu putih dan ranting buah zaitun digunakan dalam Perang Dunia Kedua diibaratkan sebagai simbol penyerahan pasukan Vitellian pada tahun 69 Masihi ketika Pertempuran Kedua Cremona.
Penggunaan bendera putih kemudiannya digunakan oleh tentera Barat sewaktu peperangan dan dipercayai turut digunakan secara meluas di China. Terdapat pelbagai kegunaan bendera putih di medan perang termasuklah gencatan senjata dan melakukan perundingan di medan perang.
Di dalam situasi sekarang, takrifan kepada mengibarkan bendera putih ketika menghadapi pandemik Covid19 ini berbeza mengikut hujah dan huraian masing-masing. Jika kita menganggap, apa yang sedang berlaku adalah lebih kurang sama dengan sesuatu peperangan, sudah tentu mengangkat bendera apabila tidak terdaya untuk bertahan adalah jalan terbaik. Sejak Mac tahun lalu dan kini, lebih 16 bulan kita bertarung menentang musuh yang tidak kelihatan.
Ramai kehilangan harta benda, wang ringgit, pekerjaan, rumah tangga runtuh, anak-anak menjadi yatim piatu, malah sehingga semalam 5,170 nyawa diragut koronavirus, lebih 60,000 lagi masih dirawat di wad dengan 905 kes ditempatkan di unit rawatan rapi. Hari demi hari kita disajikan dengan berita berkaitan kejadian cubaan bunuh diri dan bunuh diri. Ya, memang benar, di dalam menghadapi wabak ini, ramai yang tewas. Ada yang terduduk, tersungkur dan lebih malang ada yang putus asa dengan meragut nyawa sendiri. Sejak Mac hingga Oktober 2020, sebanyak 266 kes bunuh diri telah dilaporkan oleh media. Malah, trend membunuh diri semakin meningkat dan diakui sendiri oleh Tan Sri Dato' Seri Dr. Noor Hisham Abdullah baru-baru ini yang menyentuh mengenai impak ketara pandemik Covid-19 ke atas kesihatan mental. Menurut beliau, kes bunuh diri meningkat kepada 631 kes sepanjang tahun lalu berbanding 609 kes pada 2019, malah sudah berlaku 366 kes bunuh diri dilaporkan oleh polis bagi tiga bulan pertama tahun ini.
Berikutan dengan kempen besar-besaran pengguna media sosial menggerakkan kempen kibar bendera putih, yang meminta pihak yang terputus bekalan makanan menaikkan bendera putih di rumah masing-masing untuk membolehkan mereka dibantu. Kempen itu juga bagi memberi isyarat kepada orang lain untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan segera.
Tidak jelas bagaimana atau bila kempen itu dimulakan, tetapi makin hari, makin banyak yang berkongsi mesej yang sama. Kebiasaannya, mesej seumpamanya disertakan dengan pesanan agar tidak mengambil tindakan drastik dalam menghadapi kesulitan, jangan malu meminta bantuan dan elakkan mengambil tindakan yang merugikan diri dan keluarga.
Di sebelah pihak lagi memberi gambaran dengan berkempen mengibarkan bendera putih seolah-olah masyarakat diajar menyerah kalah ketika berdepan ujian. Sudah tentu pandangan ini adalah pandangan yang dilihat jauh berbeza dengan pandangan umum masyarakat dan pastinya kecaman bertali arus pastinya dirasai oleh mereka yang seiringan dengan pendapat ini, tidak kurang juga yang mendesak untuk mereka meminta maaf secara terbuka di atas kenyataan seperti ini seperti yang berlaku kepada Nik Mohamad Abduh, Ahli Parlimen Bachok.
Baru-baru ini, warganet mengecam kenyataan Nik Mohamad Abduh di Facebooknya yang berpendapat rakyat tidak wajar mengangkat bendera putih, sebaliknya mereka perlu mengangkat tangan berdoa kepada tuhan. Tulisan beliau dipercayai merujuk kempen kibarkan bendera putih jika terputus bekalan makanan yang digerakkan pelbagai pihak, susulan ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan sekatan penuh pergerakan atau total lockdown.
Saya percaya niat Ahli Parlimen Bachok adalah lebih kepada mendorong masyarakat agar sentiasa memohon pertolongan Allah dan setidak-tidaknya aib yang meminta bantuan dapat dijaga sekiranya bantuan dapat disalurkan dengan cara lain. Malah tindakan mengibarkan bendera putih dianggap sebagai mengibarkan kekalahan.
Beliau dan yang sealiran dengannya berhujah agar ahli parlimen, Adun serta organisasi seperti jawatankuasa kemajuan dan keselamatan rancangan (JKKR), kelab rukun tetangga (KRT) dan kejiranan harus cakna dan memainkan peranan di dalam menyalurkan dan menyampaikan bantuan. Rumah-rumah ibadat seperti masjid dan surau, serta kuil, tokong, gereja atau pusat komuniti bagi komuniti bukan Islam pula, boleh dijadikan pusat bantuan, selain talian operasi yang sentiasa boleh dihubungi penduduk. Yang memerlukan bantuan boleh datang atau menghubungi talian operasi, data maklumat akan dapat mengelakkan orang mengambil kesempatan, datang berulang kali sehingga rumah mereka jadi stor menyimpan barang sumbangan, sekali gus ianya dapat memelihara maruah yang meminta bantuan. Malah lagi buruk jika ia boleh menggugat akidah jika tindakan itu bermotifkan sikap berputus asa daripada rahmat Allah SWT dan tidak sabar terhadap ujianNya.
Jika dilihat persamaan antara kedua-dua pihak, adalah jelas memohon bantuan dan memberi bantuan seberapa segera yang boleh kepada mereka yang memerlukan bantuan disokong semua, cuma yang menjadi pertikaian nya lebih kepada kaedah meminta bantuan dan cara bantuan disalurkan.
Meminta bantuan ketika kesusahan tidak dilarang di dalam Islam. Bahkan digalakkan untuk mereka yang mampu dari segi harta mencari orang-orang yang susah dan fakir miskin. Kebanyakan daripada kita semua beranggapan ramai yang mampu bertahan ketika dalam kesusahan, tetapi sebaliknya mereka yang dalam kesusahan ini memilih untuk memendam keresahan dan berdiam diri. Hal ini sangat bertepatan dengan firman Allah SWT:
لِلْفُقَرَاءِ الَّذِينَ أُحْصِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًا فِي الْأَرْضِ يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ مِنَ التَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُم بِسِيمَاهُمْ لَا يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا ۗ وَمَا تُنفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Pemberian sedekah itu ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya - oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya”
Surah al-Baqarah (273)
Umum mengetahui bahawa perbuatan meminta-minta adalah perbuatan yang buruk. Tetapi perlu difahami bahawa perbuatan meminta-minta yang dilarang tersebut adalah bagi orang yang mempunyai kemampuan serta cukup keperluannya yang kemudian masih lagi meminta-minta daripada orang lain seperti yang dihuraikan oleh Imam Ibn Kathir di dalam ayat 273 Surah al-Baqarah. Apa yang dimaksudkan adalah perbuatan meminta-minta kepada orang lain dalam keadaan dia tidak mempunyai hajat atau keperluan dan orang yang sengaja meminta sesuatu daripada orang lain untuk menambah atau memperbanyakkan hartanya adalah dilarang Islam.
Tambahan lagi, terdapat beberapa hadis yang diriwayatkan berkenaan perkara ini, antaranya Rasulullah SAW bersabda:
" من سأل وعنده ما يغنيه فإنما يستكثر من جمر جهنم " قالوا يا رسول الله: وما يغنيه؟ قال: " ما يغديه أو يعشيه "
Maksudnya: Sesiapa yang suka meminta-minta sedangkan dia mempunyai kecukupan keperluan bagi dirinya maka dia sedang memperbanyakkan batu api neraka. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah dikira sebagai cukup keperluannya?” Baginda menjawab, “Sesuatu yang mencukupi bagi dirinya (untuk makan) pada waktu siang dan malam.
Riwayat Abu Daud (1629)
Selain itu, terdapat juga riwayat lain yang menyebut tentang orang yang meminta-minta dengan tujuan untuk mengumpul harta, sedangkan dalam masa yang sama keperluannya mencukupi. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَأَلَ اَلنَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا, فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا, فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ
Maksudnya: Sesiapa yang meminta harta daripada orang lain dengan niat untuk memperbanyakkan hartanya maka dia sebenarnya meminta bara api neraka. Oleh itu, terpulanglah pada dia untuk meminta sikit atau banyak.
Riwayat Ibn Hibban (534)
Perbuatan meminta-minta adalah dilarang sekiranya orang meminta tersebut mempunyai kemampuan untuk bekerja mencari rezeki dan keperluannya mencukupi. Namun begitu, dalam keadaan memaksa dan tersepit, meminta bantuan adalah perkara yang wajar dan tidak termasuk dalam larangan meminta-minta yang dinyatakan.
Secara kesimpulannya, ia jelas menggambarkan betapa pentingnya solidariti dalam kalangan kita semua untuk membantu golongan yang tewas agar tidak mengambil jalan songsang bagi menyelesaikan himpitan hidup yang dialami. Tidak semua dalam kalangan yang terkesan dengan pandemik tahu bagaimana cara mendapatkan bantuan. Oleh itu, cara paling mudah ialah dengan kibarkan sahaja bendera atau kain putih agar disedari oleh sesiapa yang terdekat sebelum menyalurkan maklumat kepada pihak yang berkaitan.
Kita sedia faham, kerajaan bekerja keras membantu menangani pelbagai masalah rakyat dan hal ehwal ekonomi yang melanda. Oleh itu, inisiatif bendera putih wajar disokong sebagai salah satu usaha bagi membantu golongan memerlukan khususnya individu dan keluarga yang tersisih daripada perhatian pihak berkuasa.
Angkat bendera putih dalam kempen ini bukan bermakna kekalahan tetapi ia bermakna meminta bantuan jika makanan di rumah sudah habis. Ia kempen yang baik. Jangan dibaca kempen ini dari kaca mata politik kepartian. Masyarakat yang cakna bersemangat membantu mereka yang terjejas sewaktu PKP yang berpanjangan. Moga usaha ini dapat membantu mereka. Doa dan meminta bantuan berjalan serentak. Tidak bermakna yang angkat bendera putih itu tidak mengangkat tangan berdoa. Siapa tahu dengan solidariti seperti ini mampu menyelamatkan nyawa manusia akhirnya! Syabas diucapkan kepada yang berkenaan.
--PN Online
Comments