Selamat menyambut Hari Malaysia
FIRMAN Allah SWT: ﴿ وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ٢٢﴾ “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.” (Surah al-Rum: 22) Allah SWT menciptakan manusia dalam berbagai bangsa, suku dan puak yang menggambarkan kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya. Tujuannya supaya manusia sentiasa berkenalan (taaruf) antara satu sama lain. Manusia secara fitrah hanya menyembah Allah SWT. Walau bagaimanapun, setelah lama tinggal di dunia, mereka mewujudkan pelbagai kefahaman dan ajaran yang baru sehingga menimbulkan kekacauan dan perpecahan.
Menurut al-Quran, manusia berasal daripada Adam dan Hawwa yang melahirkan anak yang ramai. Setelah sepuluh abad kewafatan Nabi Adam AS, Allah SWT mengutuskan Nabi Nuh AS bagi menyelamatkan manusia daripada kesesatan. Selepas itu lahirnya keturunan-keturunan yang bertebaran di muka bumi dengan kepelbagaian bangsa dan bahasa.
Manusia secara fitrah juga diciptakan untuk bersatu-padu kerana Allah SWT menjadikan manusia saling memerlukan antara satu sama lain. Sebagai contoh, manusia memerlukan makanan. Makanan diperolehi dengan bercucuk tanam atau memburu. Maka, manusia memerlukan alat bagi mendapatkan makanan dan sekelompok manusia yang mempunyai kepakaran dalam mencipta alat tersebut.
Segala kerjasama dan hasil daripada setiap kelompok manusia itu dikumpulkan. Inilah yang dinamakan masyarakat madani yang saling bertaaruf dan bekerjasama melalui perkongsian kepakaran kaum dan bangsa masing-masing.
Hari ini kita menyambut Hari Malaysia ke-59 dengan penuh aman dan damai. Peristiwa bersejarah 16 September 1963 amat penting untuk dihayati bagi mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang sejahtera dengan semangat perpaduan antara kaum yang utuh.
Pembentukan Malaysia dalam meraikan masyarakat majmuk yang berbeza bangsa dan agama wajib dihormati, sebagai makna sebenar dalam meraikan Hari Malaysia.
Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat pelbagai kaum, bangsa dan agama.
ABDUL HADI AWANG
Commentaires