Saya tahu tidak semuanya okey di luar sana.
Saya membaca satu laporan kajian yang dilaksanakan oleh Merdeka Centre for Opinion Research pada bulan Disember 2021.
Kajian ini mendapati 12% rakyat telah mula ikat perut dengan makan hanya sekali atau dua kali sehari (skip meal), 12% tangguh rawatan perubatan dan 31% lewat bayar hutang dan bil kerana tiada wang.
Selain itu, kajian oleh Mindshare, sebuah entiti bukan kerajaan, menunjukkan 61% rakyat Malaysia telah berada dalam kumpulan berpendapatan terkebawah (B60), iaitu dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan, selepas pandemik Covid-19 melanda negara. 76% daripada kumpulan ini berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.
Kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik telah memberi kesan buruk ke atas kehidupan rakyat.
Selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, saya telah menyuarakan kebimbangan saya dan mengemukakan beberapa cadangan MPN kepada kerajaan, termasuk melaksanakan semula moratorium untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana yang terkesan.
Banyak lagi perakuan yang dikemukakan oleh MPN untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara termasuk mempercepatkan proses pemulihan dalam sektor pelancongan, memudah cara permohonan pinjaman bagi perniagaan yang memerlukan modal dan menyelesaikan isu tenaga kerja yang meruncing.
Banyak perniagaan atau perusahaan yang terpaksa menutup atau mengecilkan operasi kerana kekurangan tenaga kerja. Industri menanggung rugi dan pemulihan negara terencat kerana masalah ini.
Industri kelapa sawit sahaja rugi RM10.25 bilion pada tahun lalu kerana kekurangan pekerja untuk menuai buah.
Setiap kali mesyuarat MPN, isu kekurangan tenaga kerja sering kali dibangkitkan dan dilaporkan kepada Kabinet. Namun, setakat ini masih belum ada penyelesaian yang komprehensif dalam isu ini.
Isu kejatuhan nilai ringgit juga tidak dipandang serius. Perdana Menteri tidak tampil menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit. Malah dikatakan ini bukan masalah besar. Kononnya, Malaysia tidak berada dalam krisis. As if everything is okay.
Saya tahu tidak semuanya okey di luar sana.
Malaysia mengimport sebahagian besar bahan makanan. Tahun lalu, nilai import bahan makanan sahaja mencecah RM63 bilion. Jika nilai ringgit terus merudum, harga barangan makanan akan menjadi lebih mahal.
Is this okay? No, it is not okay.
Nampaknya, Perdana Menteri tidak memandang semua isu ini sebagai sesuatu yang penting.
Mungkin kerana itulah hanya 35% rakyat berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri pada masa ini. Aspek pengurusan ekonomi negara mencatatkan prestasi terburuk dengan hanya 18% berpuas hati.
Sebagai Pengerusi Perikatan Nasional, saya telah mengarahkan jentera parti supaya terus membantu rakyat yang susah termasuk mengedarkan bakul makanan kepada mereka yang memerlukan dan menganjurkan Program Jualan Prihatin yang menawarkan barangan keperluan harian dengan harga yang murah.
Pada masa yang sama, BN sedang menekan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen dengan segera supaya pilihan raya dapat diadakan.
Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak Perdana Menteri supaya membubar Parlimen.
Tetapi saya pun terfikir, jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat
Twitter: https://twitter.com/muhyiddinyassin
Muhyiddin Yassin
Comments