top of page
newsatmy

PRU-15: Tampil muka baharu, adaptasi dinamika politik

Harits Asyraf Hasnan

Disember 26, 2020 13:28 MYT



Hisomuddin Bakar berkata, kebanyakkan parti politik pada ketika ini dilihat masih lagi ketinggalan dalam menampilkan muka baharu. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Parti-parti politik perlu mencalonkan muka-muka baharu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.


Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata kebanyakkan parti politik pada ketika ini dilihat masih lagi ketinggalan dalam menampilkan muka baharu.


"Sebenarnya DAP bermula seawal PRU-12. Pada PRU-13 mereka sudah mula menempatkan muka-muka baharu dengan lebih ramai.


"Manakala parti-parti lain saya rasa agak ketinggalan dalam bukan sahaja menampilkan dan memberi pendedahan, malah menempatkan calon-calon muda ini di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.


"Dalam konteks politik parti, mereka mesti menempatkan calon-calon muda ini sebagai perwakilan yang akan mewakili suara parti yang lebih lagi untuk DUN dan Parlimen.


"Suara anak muda ini akan disampaikan dalam perwakilian yang mereka wakili itu. Itu cabaran sebenar kepada semua parti termasuk Amanah," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.


Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada ucapan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mencabar Pemuda sayap parti itu untuk membuktikan kemampuan dan keberanian mereka melahirkan kepimpinan dan idea besar untuk negara.


Justeru, Hisomuddin melihat perlu untuk Amanah memposisikan kedudukan parti mereka dalam arena politik demi memenuhi dinamika ketika ini.


"Seperti mana kenyataan yang diungkapkan oleh Salahuddin, saya anggap ini cabaran kepada Pemuda dan parti Amanah itu sendiri.


"Sekiranya parti Amanah tidak bertindak untuk memenuhi seperti apa yang dikatakan iaitu memberi laluan kepada pemimpin muda, bukan sekadar di pentas ceramah, tetapi perlu pendedahan yang lebih luas.


"Jika tidak, kenyataan itu hanya retorik dan juga populis bagi memenuhi hati perwakilan pemuda sahaja," katanya.


Comments


bottom of page