top of page
newsatmy

PRN15: Siapa sebenarnya bermimpi siang hari?


WALAUPUN Umno kini berada pada kedudukan yang paling lemah dalam sejarahnya dengan hanya 26 kerusi di Parlimen. Namun Presiden Umno dengan jawatan Timbalan Perdana Menterinya seolah tidak merasakan apa-apa.


Menang jawatan Presiden Umno tanpa ada pertandingan beliau seakan menganggap Umno sudah pulih dan mampu mudah melonjak kembali, kuat seperti dahulu.


Di Butterworth baru-baru ini beliau dilaporkan menganggap sasaran PERIKATAN NASIONAL (PN) Negeri untuk menawan kesemua 15 kerusi DUN majoriti Melayu di Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 nanti sebagai mimpi di siang hari.


Pasti ramai yang akan tersenyum, ketawa sendiri membaca reaksi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ini, kerana dengan hanya 26 kerusi Parlimen dan hanya mampu menguasai Johor dan Melaka, Pahang dan Perak dengan bantuan PH dan DAP, Umno sesungguhnya cukup lemah dan tidak mustahil terus rebah ke bumi.


Umno tiada satu kerusi Parlimen pun di Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Melaka. Di Perlis ia tiada satu kerusi DUN pun.


Kalau PN bermimpi di siang hari kerana mensasarkan boleh menang sehingga 15 kerusi DUN majoriti Melayu di Pulau Pinang, Umno bagaimana?


Jangan lupa Umno gagal dan kecundang di semua kerusi Parlimen baru-baru ini di Pulau Pinang. Empat kerusi Parlimen Melayu, tiga dimenangi PN iaitu Kepala Batas, Permatang dan Tasik Gelugor, manakala Pakatan Harapan melalui PKR pula menang tipis di Parlimen Balik Pulau.


Dengan tiga kerusi Parlimen majoriti Melayu dalam tangan, PN punya asas untuk mensasarkan menang beberapa kerusi DUN, Umno yang tiada kerusi bagaimana?


Takkanlah Umno mengharapkan bantuan dari PH terutama DAP yang merupakan tunjang kuasa di DUN Pulau Pinang untuk menang? Mustahil DAP mahu membantu Umno yang sedang sesak nafas, malah inilah masanya untuk PH memutuskan nafas Umno di Pulau Pinang. PH terutama DAP dan PAN bukannya berselera pun berkawan dengan Umno.


Pilihan Raya Negeri ke-15 untuk tiga buah negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bagi beberapa penganalisa politik adalah penentu kepada nasib dan survival BN dan Umno, sama ada mereka mampu bangkit kembali atau akan pupus.


Di negeri-negeri majoriti Melayu iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, Umno berhadapan dengan laluan yang cukup sukar. Bagaimana agaknya ramalan Zahid untuk Umno di sana, mampukah menang kerusi atau menumbangkan kerajaan negeri?


Jika kita lihat keputusan PRU Parlimen ke-15 baru-baru ini untuk ketiga-tiga buah negeri itu, undi yang diperolehi oleh calon-calon PAS dan PN jauh mengatasi undi calon-calon BN-Umno yang kesemuanya kecundang.


Rata-rata undi yang diperolehi PAS dan PN mengatasi undi campuran BN dan PH di kesemua Parlimen kecuali di dua kerusi iaitu Kulim Bandar Baru (PN 34,469 | PKR 21,408 | BN 13,872) dan Gua Musang ( PN 21,862 | BN 21,663 | PH 4,517).


Demikian juga di Selangor, BN dan Umno seakan dilayan bagai penumpang kelas dua oleh PH. Kerana PH menganggap mereka cukup kuat tanpa BN yang mereka tahu telah teruk ditolak rakyat di Selangor dalam PRU Parlimen ke-15 baru-baru ini.


Di Selangor baru-baru ini PN menang di enam kerusi Parlimen.


Umno kalah kerusi mereka di Sabak Bernam dan Tanjong Karang, PKR tewas di Hulu Selangor, Kapar dan Kuala Langat manakala BERSATU pula berjaya pertahankan kerusi Sg Besar atas tiket PN.


Mampukah Umno bertahan di lima kerusi milik mereka sedangkan empat darinya iaitu Sg Air Tawar, Sg Panjang, Hulu Bernam dan Sg Burong terletak di empat kerusi Parlimen yang dikuasai PN baru-baru ini.


Dalam Konvensyen DAP Selangor baru-baru ini, DAP menegaskan yang ia mahu tanding lebih dari 16 kerusi di Selangor. DAP menang 16 kerusi DUN dalam PRU ke-14 lalu dan kini mereka mahu meluaskan kuasa dengan bertanding di kerusi baru. Jika ini berlaku bagaimanakah nasib BN di Selangor?


Semua kerusi DUN majoriti bukan-Melayu di Selangor dikuasai sama ada PKR ataupun DAP. Mustahil mereka mahu korbankan kerusi mereka buat MCA dan MIC? Ini bermakna MCA dan MIC pasti tiada masa depan di Selangor, cukup menjadi tukang sorak.


Dan Umno juga dijangka akan dianak-tirikan di Selangor lantaran rekod mereka yang ditolak rakyat. Zahid mungkin berpura-pura tidak bimbang namun PH khasnya DAP sedar akan kekuatan ‘Gelombang Hijau’ dalam PRU Parlimen baru-baru ini. Kiranya gelombang ini melanda Selangor dalam PRN ke-15 sekali lagi, kedudukan PH terancam dan tidak mustahil kerajaan negeri mereka boleh tumbang.


Soalnya adakah ancaman ini menggugat Zahid? Zahid dilihat meratib merata bahawa di tangan beliau Umno walau kalah tapi ia parti keramat kerana beliau tetap diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri.


Keramat tak keramat kita tunggu PRN enam negeri nanti. Gelombang Hijau kebangkitan dan kesedaran politik umat Melayu Islam itu tetap bergelora tambahan dengan kehidupan rakyat yang tidak menentu hari ini dihimpit dengan kos hidup yang di luar kawalan bawah Kerajaan Campuran PH BN. Enam negeri ini dijangka dilambung, Kelantan, Terengganu dan Kedah dengan izin Allah hampir pasti, Selangor dan Negeri Sembilan punya peluang dan Pulau Pinang akan menyaksikan PH hilang pengaruh di kalangan pengundi Melayu.


Pastikan anda keluar mengundi, nasib dan masa depan ummah bergantung pada undi kita semua. Bersama kita mencipta sejarah demi manfaat ummah.


ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

留言


bottom of page