top of page
zaman

PimpinanKezaliman mengundang kesedaran rakyat


BERIKUTAN pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram terhadap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, suhu politik Malaysia semakin naik mencanak.


Kebetulan pertuduhan ini dilakukan beberapa minggu setelah satu kajian sebuah badan bebas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia khasnya umat Melayu Islam majoriti masih sangsi dan tidak percaya pada Kerajaan Campuran pimpinan Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini bermakna dahlah dalam PRU Parlimen ke-15 baru-baru ini, parti-parti yang membentuk Kerajaan Campuran ini gagal menguasai sokongan pengundi Melayu, setelah lebih 100 hari memerintah peratusan sokongan orang-orang Melayu terhadap mereka masih di bawah 50 peratus.


Jika trend ini dibiarkan berlarutan pasti PH dan BN akan menghadapi kesukaran dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 untuk enam buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.


Lantas apa sahaja usaha yang boleh dilakukan untuk mencalar dan mencemar imej PERIKATAN NASIONAL khasnya PAS dan BERSATU akan segera diambil demi menjamin nasib dan survival politik parti-parti yang membentuk Kerajaan Campuran ini.


Kerajaan Campuran ini terdiri dari parti-parti yang berbeza agenda dan keutamaan. Mereka mungkin terdesak terpaksa tidur berlandaskan bantal yang sama, namun realitinya mereka masing-masing punya mimpi yang berbeza-beza.


Dalam keadaan perbezaan yang ketara itu Kerajaan Campuran ini terbentuk, menghimpunkan segala yang mereka masing-masing sebelum ini label dan serang sebagai kaki sakau, penyamun, perompak, ekstrimis, rasis dan pelbagai lagi yang buruk-buruk.


Kerana itu Kerajaan Campuran ini dilihat lemah, dan seakan ketandusan arah-tuju untuk membawa rakyat dan negara ke arah kemakmuran dan kesejahteraan sebagaimana yang dijanjikan.


Rakyat sedang berhadapan dengan pelbagai jenis tekanan hidup akibat keadaan ekonomi semasa, malangnya Kerajaan Campuran Perdana Menteri ke-10 dilihat gagal mengemukakan perancangan dan penyelesaian yang tuntas serta meyakinkan sehingga makin melonjakkan pula kemarahan dan ketidakpuasan hati rakyat jelata.


Kos hidup rakyat semakin parah, harga barangan naik dan bekalannya menjadi semakin berkurangan. Rakyat mendesak agar dibenarkan pengeluaran simpanan KWSP secara tersasar, malang kerajaan tolak dan sebaliknya minta mereka yang terdesak agar membuat pinjaman dengan menyandarkan jumlah simpanan mereka dalam KWSP. Ini makin mengundang api kemarahan rakyat.


Sementara itu janji-janji sebelumnya termasuklah menurunkan harga minyak, menghapuskan hutang PTPTN, gaji minima dan lain-lain langsung tidak diberi perhatian malah dilupakan. Hari ini indek Bursa Malaysia corot menjunam, harga tukaran Dolar Amerika memuncak naik berbanding Ringgit Malaysia yang semakin kurang nilainya.


Segala suasana yang timpa-menimpa ini cukup tidak sihat buat masa depan PH dan BN. Hari ini pun ramai sudah menjangkakan jika beginilah keadaannya, PN bakal sapu bersih negeri-negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu dan tidak mustahil boleh bangkitkan kejutan khasnya di Selangor dan Negeri Sembilan serta Pulau Pinang.


Lantaran itulah PN tidak boleh dibiarkan menguasai keadaan dan perkembangan politik. Sesuatu perlu dilakukan agar rakyat khasnya umat Melayu Islam boleh hilang keyakinan pada PN dan kembali menyokong PH dan BN.


Justeru tindakan menyeret pimpinan PN ke mahkamah adalah salah satu langkah yang pada perhitungan mereka dapat memusnahkan kredibiliti dan kekuatan PN. Biar tumpuan PN teralih, biar kemarahan rakyat pada mereka beralih pula ke PN. Selain itu DAP pula memain peranan menghasut rakyat agar benci dan menolak PAS.


PAS memenangi 43 kerusi Parlimen untuk PN, pencapaian PAS terbaik dalam sejarah 15 kali berpilihan raya. PAS membawa ke Parlimen bukan sahaja wakil-wakil ulamak yang berwibawa, malah tersenarai beberapa profesional yang kompeten termasuklah peguam, jurutera, bekas Menteri, bekas ahli-ahli Exco kerajaan negeri, doktor perubatan, lulusan ekonomi, pengurusan, perakaunan dan pentadbiran.


DAP melihat PAS sebagai satu ancaman dan ia sedar bahawa kecenderungan umat Melayu Islam pada PN adalah lantaran kekuatan dan keupayaan PAS. PAS berjaya melahirkan imej kepimpinan yang bersih, berintegriti dan peduli rakyat, kualiti yang sangat diinginkan oleh orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya.


Lalu usaha mengadu-domba dan menakut-nakutkan rakyat terhadap PAS perlu dilakukan demi melemahkan PN. Sebelum ini DAP berjaya mempengaruhi masyarakat bukan-Melayu untuk memusuhi dan menolak PAS dalam PRU Parlimen ke-15. Mereka menabur fitnah kononnya undi PN akan dapat negara Taliban ala Afghanistan, kononnya model negara yang PAS inginkan.


Malangnya ramai masyarakat bukan-Melayu terpengaruh, sedangkan realitinya PAS tidak pernah begitu, apa yang berlaku di negeri-negeri bawah PAS khasnya Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis adalah contoh hidup, tetapi lantaran kuat dan bertalu-talu serangan DAP, ramai telah terpedaya.


Dalam PRN Negeri kali ini DAP juga dijangka akan dipersoalkan oleh para pengundi bukan-Melayu. Mereka mungkin berjaya menghitamkan imej PAS, tetapi tindak-tanduk mereka sendiri kini mula dipertikaikan. Langkah menerima pimpinan Umno dan BN sebagai rakan kongsi Kerajaan Campuran dilihat sebagai telah memperdaya para pengundi bukan-Melayu yang setia pada mereka. Dulu semasa berkempen Umno dituduh tempang, pincang, perompak dan kaki sakau, tiba-tiba selepas PRU kerana laparkan kuasa Umno dipeluk dan diterima serta diangkat pula menjadi Timbalan Perdana Menteri. Masyarakat bukan-Melayu telah tertipu.


Demikianlah langkah-langkah drastik yang sedang dan bakal diambil oleh PH dan BN untuk memastikan mereka tidak kecundang dalam PRN ke-15 untuk enam buah negeri ini.


Soalnya mudahkah rakyat Malaysia khasnya umat Melayu Islam yang cukup curiga dan sangsi dengan Kerajaan Campuran ini dipengaruhi dengan tindakan pendakwaan terpilih sebagaimana yang berlaku ke atas Muhyiddin dan rakan-rakan? Rakyat boleh melihat dan menilai jangan sesekali cuba merendah-rendahkan kewarasan mereka.


Ini bukan kes sakau duit untuk belanja peribadi, untuk bayar cukai kenderaan milik sendiri, bil kad kredit peribadi, berjoli dan bersantai, beli barang berjenama dan barang kemas. Ini kes derma dana pilihan raya, yang bukan masuk ke poket sendiri atau anak-isteri dan saudara-mara tetapi sesuatu yang sebenarnya berlaku dan melibatkan hampir semua parti termasuk PH dan BN.


Tidak mengapalah jika pada perkiraan mereka kezaliman seumpama ini boleh memberi keuntungan. Yang jelas Kerajaan Campuran PH-BN ini dilihat gagal dan tidak mampu membela nasib rakyat sebagaimana yang diuar-uarkan.


PRN ke-15 ini adalah peluang terbaik buat rakyat untuk menuntut perubahan. Jika Kerajaan Persekutuan sudah dibolot mereka, kerajaan-kerajaan negeri khasnya yang enam ini perlulah diserahkan pada PN agar berlaku semak dan imbang.


Para pengundi Melayu Islam dijangka cukup prihatin terutama dalam hal berkaitan nasib dan masa depan agama dan bangsa, lalu keluarlah beramai-ramai mengundi untuk perubahan, tolak yang zalim angkat yang mampu membela maruah dan harga diri kita.


ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

Comments


bottom of page