Perlunya Bank Perumahan Negara dan Bank Tanah untuk pemilikan rumah mampu milik
Perumahan memberi sumbangan yang signifikan kepada pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Rumah berfungsi sebagai tempat berlindung dan menyediakan persekitaran hidup aktif yang boleh mempengaruhi dan membentuk perilaku manusia, produktiviti dan pembangunan.
Walaupun pelbagai pogram kerajaan diperkenalkan antaranya Program Bantuan Rumah (PBR),Program Perumahan Rakyat (PPR),Program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M), Pogram perumahan generasi kedua peneroka,Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA),Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M),
Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP),Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) namun penawaran rumah mampu milik masih belum mencukupi, terutama untuk isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana rendah di bandar .
Ini disebabkan Jurang antara permintaan dengan penawaran perumahan mampu milik masih wujud disebabkan perubahan sosioekonomi, pembandaran dan perkembangan struktur penduduk.
Kerajaan seharusnya memfokuskan kepada penyediaan rumah mampu milik untuk memenuhi keperluan perumahan yang semakin meningkat, terutama dalam kalangan golongan miskin serta isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
Masalah perumahan kini bukan sahaja di bandar, di luar bandar hari ini juga berdepan dengan masalah ketidakcukupan bekalan rumah mampu milik dan harga sewa rumah yang tidak masuk akal sehingga menyebabkan mereka tiada pilihan melainkan bersesak dengan ibu bapa dan ahli keluarga lain di dalam satu rumah sehingga mereka juga mempunyai anak.
Merujuk laporan Jabatan Perangkaan Malaysia 2019, hampir 30 peratus perbelanjaan isi rumah daripada anggaran purata perbelanjaan bulanan sebanyak RM4,535 dihabiskan untuk membayar rumah dan pelbagai utiliti lain. Bayangkan bagaimana penduduk luar bandar golongan pendapatan rendah dan sederhana mengurus perbelanjaan untuk rumah?
Memandangkan tiada statistik khas jumlah keperluan rumah di seluruh negara, kita mengambil contoh negeri terengganu yang diketegorikan negeri yang sederhana pembangunannya.Kajian kes di mana pada tahun 2022 sahaja, sistem e-perumahan Terengganu melaporkan permohonan rumah mampu milik sahaja adalah sebanyak 36,177 unit berbanding dengan jumlah rumah yang telah dan akan siap dibina sebanyak 18,061 unit. Hanya 49 peratus sahaja rumah sedia diduduki.
Jumlah itu sahaja melibatkan pemohon yang sudah lama menunggu giliran sejak enam ke sepuluh tahun yang lalu, belum masuk lagi kemungkinan berlaku lambakan permohonan terdiri daripada golongan bujang dan yang berkahwin muda sejurus selesai mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), STPM ataupun diploma setiap tahun.
Keperluan bekalan rumah mampu milik juga bertambah kritikal apabila Malaysia sekarang sudah menjadi ageing nation dengan limpahan penduduk yang telah menjadi warga emas daripada 7.0 peratus pada tahun 2021 kepada 7.23 peratus pada tahun 2022.
Ini adalah cabaran kepada kerajaan, untuk bersama-sama merancang kesejahteraan populasi dan mengawal harga perumahan mampu milik supaya mereka dapat hidup dengan tenang tanpa berhutang lebih daripada kemampuan sehingga tua dan akhirnya menatijahkan produktiviti kerja yang berkesan.
Meraikan usaha kerajaan yang ingin menyediakan Dasar Perumahan baru bagi menyambung dasar sedia ada yang akan tamat pada tahun 2025, kita ingin melihat satu transformasi bandar dan luar bandar yang signifikan diambil oleh kerajaan kerana isu perumahan di bandar juga menjadi isu hangat buat masa ini seolah-olah memperlihatkan berlakunya work in silo di peringkat kerajaan sama ada kementerian, negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, kita mengharapkan agar kerajaan dapat membuat pertimbangan untuk mewujudkan polisi perumahan mengikut keperluan bujang dan lain-lain kriteria bujang seperti duda, janda, warga emas, pelajar dan orang kelainan upaya (OKU) yang mana keperluan perbelanjaan bulanan, fasiliti mereka agak berbeza dengan keperluan isi rumah berkeluarga.
Kerajaan juga diharap dapat mempertimbangkan untuk memendekkan tempoh pembinaan dan agihan rumah dan menyemak kembali proses pemilikan dan penilaian tanah.
Kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan pula perlu menyemak semula semua kaedah dan prosedur yang ada didalam rantaian nilai sektor pembinaan seperti memperketatkan prosedur pembinaan rumah mampu milik samaada baru bina atau pembangunan semula melalui melalui pelbagai kajian serta daripada hanya berstatus ‘galakan’ ditukar menjadi ‘mandatori’ kepada semua pemaju perumahan mampu milik di seluruh negara.
Proses-proses ini adalah penting di dalam usaha memastikan harga rumah mampu milik siap adalah berpatutan. Jika ‘nilai’ rumah dengan kadar yang mampu milik meningkat dan hal ini diyakini dapat membendung masalah sosial rakyat dan meningkatkan kualiti hidup rakyat terutamanya kepada generasi muda,B40 dan M40.
Luar bandar dan bandar mempunyai peranan yang saling lengkap melengkapi. 80 peratus daripada populasi dunia luar bandar tinggal berdekatan dengan bandar. Justeru, isu perumahan ini perlu diselesaikan secara holistik melibatkan semua pihak swasta dan agensi kerajaan kerana rumah yang sejahtera mempengaruhi lima maqasid syariah iaitu menjaga nyawa, agama, keturunan, akal dan harta.
Rumah yang menyenangkan, selamat dan harmoni merujuk kepada perancangan bandar dan desa secara holistik dan bersepadu disamping memberikan keyakinan kepada pasangan suami isteri untuk menambah ahli keluarga serta meningkatkan kadar pendapatan bersih golongan luar bandar dan bandar di mana masing-masing meliputi 24.9 peratus dan 75 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia.
Kemampuan untuk memiliki rumah adalah satu kebimbangan umum yang utama kerana perbelanjaan untuk perumahan adalah yang ketiga terbesar bagi kebanyakan isi rumah. Indeks kemampuan perumahan menunjukkan bahawa harga rumah di bandar utama melebihi tiga kali pendapatan median tahunan isi rumah.
Kajian menunjukkan harga rumah di Malaysia merekodkan kenaikan melebihi 10% pada setiap suku tahun malah kenaikan harga rumah dibandar besar seperti Kuala Lumpur,Pulau Pinang,Selangor,Johor Bahru menunjukkan peningkatan harga rumah mencecah tahap tertinggi, iaitu sekitar 18% hingga 20%.
Segala Program perumahan yang wujud bagi membolehkan rakyat pada semua peringkat umur memiliki rumah pula perlu diterus untuk memberikan peluang kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana untuk membeli rumah daripada pemaju swasta.
Antaranya,Skim Perumahan Belia yang diperkenalkan pada tahun 2015 juga perlu diteruskan pelaksanaannya. Program Perumahan Sewa Beli (Rent-to-Own) bagi menyediakan tempat tinggal kepada golongan berpendapatan rendah.
Program ini akan membolehkan golongan berpendapatan rendah menyewa dan mempunyai pilihan untuk memiliki rumah tersebut dalam tempoh penyewaan yang ditetapkan.
Kerajaan juga perlu memperbanyakkan membina lebih banyak rumah untuk disewa di bawah Pogram Perumahaan PPR, terutama di bandar utama dan lokasi yang khusus bagi memastikan kecukupan permintaan bagi golongan B40.
Program rumah transit perlu diwujudkan di bandar untuk golongan belia termasuk belia yang terlibat dalam sektor tidak formal. Program ini terbuka kepada pasangan muda yang berkahwin, dan belia bujang khususnya kepada mereka yang tinggal bersesak-sesak di sebuah rumah.
Kerajaan perlu memperkasakan menyediakan kemudahan pembiayaan inovatif dan memberikan subsidi harga rumah untuk isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana. .
Bagi pembeli rumah pertama, Kerajaan disarankan meneruskan menyediakan skim pembiayaan khas di bawah Skim Rumah Pertamaku. Skim Pinjaman Perumahan Antara Generasi (Inter Generation Home Loan) yang menyediakan tempoh pinjaman selama 41 - 70 tahun akan diteruskan. Bayaran balik pinjaman boleh dipindahkan kepada generasi seterusnya.
Terdapat golongan berpendapatan rendah gagal membayar balik pinjaman peribadi, kad kredit, dan banyak lagi sekali gus menyebabkan mereka susah untuk mendapatkan pinjaman perumahan dan mereka patut di bantu melalui kewujudan Bank Perumahan Negara dimana segala pinjaman dijamin oleh kerajaan dan kadar faedah yang rendah.
Bagi menjayakan segala Pogram Perumahan yang diwujudkan oleh kerajaan,kepentingan mewujudkan satu badan khas bantuan kewangan kepada pembeli perlu ditubuhkan.
Ini disebabkan syarat pinjaman yang ketat dan kadar faedah yang tinggi yang ditawarkan oleh bank komesial yang berorentasikan keuntungan,
Kerajaan,melalui Kementerian Kese-jahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan disarankan mewujudkan Bank Perumahan Negara yang mampu membantu orang ramai membeli rumah.
Bank Perumahan Malaysia berperanan khusus untuk membantu mereka yang ingin membeli rumah tetapi tidak berjaya mendapatkan pinjaman daripada bank,pembelian rumah pertama,pembelian rumah dibawah harga RM300,000,pinjaman perumahan bagi golongan muda,B40 dan M40, pada mereka yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah bermasalah untuk pembayaran balik, sebab itu mereka tidak terlepas daripada CCRIS yang mana sistem itu diwujudkan oleh Bank Negara.
Selain itu,kerajaan perlu bertegas agar Bank Negara perlu mencari satu usaha mewujudkan satu polisi yang boleh diikuti oleh kesemua cawangan bank komersial di Malaysia untuk memberikan kuota pinjaman kepada pembeli rumah mampu milik.
Sekiranya kerajaan tidak membantu menyelesaikan perkara kemudahan pinjaman, segala bentuk rancangan pogram rumah mampu milik yang diwujudkan kerajaan akan gagal.
Projek ini tidak mempunyai pembeli bukan disebabkan tidak ada permintaan tetapi disebabkan mereka yang berminat dengan projek ini tidak mampu mendapatkan pinjaman perumahan untuk membeli rumah berkenaan.
Selain itu,bagi merealisasikan segala pogram tersebut,Kerajaan disarankan mewujudkan bank tanah melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) untuk memenuhi keperluan perumahan mampu milik pada masa hadapan, terutama di bandar. Bagi mencapai objektif ini, JKPTG akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri untuk menyediakan tanah yang bersesuaian untuk pembangunan perumahan mampu milik pada masa kini dan hadapan.
Mungkin terdapat tanah wakaf iaitu adalah tanah yang diserahkan oleh pemilik yang beragama Islam sebagai derma. Tanah tersebut boleh digunakan bagi tujuan kebaikan atau menjana pendapatan untuk diagihkan kepada penerima yang layak.Berbekerjasama dengan majlis agama Islam negeri yang berkenaan bagi mengenal pasti tanah yang berpotensi untuk pembangunan perumahan mampu milik, termasuk tanah baitulmal.
Pemilikan rumah mampu milik tidak wajar menjadi gula-gula politik, bahkan ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk memastikan warganya dapat hidup dengan aman dan harmoni.
Matharuzaman Ahmad
Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pontian
댓글