top of page
newsatmy

Penyatuan Melayu Islam: Ikhlaskah UMNO?


Dalam keadaan rakyat berdepan dengan himpitan ekonomi kerana pandemik Covid-19, beberapa pimpinan Umno terus menerus memainkan peranan dalam beberapa isu perebutan kuasa dan pergelutan dalaman seperti tiada titik noktah.


Isu Kemelut Kerajaan Perak

Gelora politik di negeri Perak bukanlah berlaku secara alami, tetapi ia sengaja dibuat oleh UMNO melalui gerakan senyap seperti apa yang didakwa oleh DAP Perak. Mereka telah mulakan konspirasi menjatuhkan Peja sebagai menteri besar beberapa bulan sebelum itu. UMNO sanggup mengadakan perbincangan sulit bersama DAP untuk menumbangkan MB yang sedia ada. Sekiranya dakwaan DAP itu betul, maka ‘sudah terang lagi bersuluh’ siri perbincangan sulit telah diadakan yang telah digerakkan oleh UMNO sendiri dalam keadaan Peja mentadbir negeri Perak tanpa sebarang masalah malah mula dihormati rakyat Perak. Di manakah keikhlasan UMNO untuk mengangkat roh dan semangat Penyatuan Melayu & Islam?


Isu KWSP

Najib Razak di dalam usahanya untuk kembali relevan di dalam persada politik dan cubaan untuk mengubah sudut pandang umum, kononnya ingin membela golongan pekerja yang terjejas dengan membawa cadangan pengeluaran RM10,000 pemberian terus kepada pencarum sedangkan Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan oleh Muhyiddin Yassin yang cenderung dan perihatin kepada rakyat banyak memberi manfaat kepada segenap latar masyarakat dan perkara ini tidak boleh disangkal oleh sesiapa pun. Cadangan dan desakan ini hanyalah retorik politik Najib Razak. Adakah kita lupa di bawah pemerintahan Najib Razak, duit KWSP telah dilaburkan ke dalam Panglima Power Sdn Bhd (PPSB) dan Jimah Energy Ventures Sdn Bhd yang mana kedua-dua syarikat ini merupakan anak syarikat kepada 1MDB. Lupakah kita manusia bernama Najib Razak dengan skandal SRC dan 1MDB-nya? Lupakah kita berbillion-billion duit rakyat lesap di sebalik skandal tersebut?


Kenyataan pimpinan UMNO yang meretakkan hubungan penyatuan

Kenyataan terbuka baik pimpinan UMNO yang sering mensasarkan ke arah keretakan hubungan parti komponen kerajaan, malah ke arah perpecahan. Tidak henti-henti menyerang Muhyiddin Yassin dan menteri di bawah pimpinannya. Contohnya Sharir Samad pernah mengeluarkan kenyataan mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Kenyataan Khaled Nordin yang merupakan Naib Presiden UMNO bertubi-tubi menyindir dan memperkecilkan BERSATU dan PAS. Khaled juga pernah menyatakan tidak mempercayai BERSATU. Begitu juga dengan Jazlan Mohamed, terlalu banyak kenyataan terbuka yang bukan sahaja memperkecilkan BERSATU,malah PAS juga. Beliau pernah secara terbuka di dalam kenyataannya meminta supaya BERSATU mencerminkan diri dahulu dan terlalu banyak cakap. Apakah beliau masih mengimpikan Pejabat Timbalan Menteri KDN dan sudah terlupa yang beliau kalah teruk di Parlimen Pulai sewaktu PRU14. Ibarat tin kosong yang nyaring bunyinya, beliau juga perlu cerminkan diri setiap hari. Sebab itulah, Zahid Hamidi mengeluh penat ingin menjaga “mulut tempayan” dalam UMNO.


Sokongan Zahid & Najib kepada Anwar Ibrahim

Baru-baru ini tular surat Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO kepada Yang DiPertuan Agong menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri. Surat yang ditandatangani oleh Zahid Hamidi sendiri jelas membuktikan yang bukan hanya beliau sahaja menyatakan sokongan tersebut, malah beberapa ahli parlimen UMNO turut menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri. Sehingga sekarang ada beberapa ahli parlimen UMNO masih menjalankan tugas mengutip ‘Statutory Declaration‘ atau Akuan Bersumpah untuk memperoleh sokongan tersebut. Ada maklumat yang mengatakan antara 10 hingga 13 orang ahli parlimen yang sudah menandatangani akuan bersumpah tersebut. Perkara ini bukan sahaja boleh menjatuhkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, malah lebih jelik lagi, mereka mengkhianati kerajaan yang sedia ada. Oleh itu, di manakah keikhlasan UMNO yang selama ini melaungkan kesatuan Melayu Islam. Adakah hanya Melayu ala UMNO sahaja? Yang nyatanya, UMNO sendiri semakin berpecah berpunca daripada kerakusan pemimpinnya.


Istilah “Abang Besar”

UMNO sering melaungkan merekalah abang besar dan dominan, Khaled Nordin sering menyebut UMNO perlu memimpin gabungan perdana ini. Mereka juga menyatakan semasa pengagihan kerusi, mereka perlu dapat lebih banyak kerusi kerana mereka parti dominan. Dalam soal membincangkan penyatuan Melayu dan Islam serta gabungan perdana untuk mengekalkan kuasa Putrajaya pasca PRU-15, sepatutnya perbincangan bukanlah berkisar kepada siapa abang besar atau siapa yang paling kecil. Penanda arasnya ialah bagaimana proses penyatuan dilaksanakan secara ikhlas dan pengekalan kuasa akhirnya dapat memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia amnya, dan Melayu Islam khususnya. Akhirnya bagaimana penilaian kita dalam melaksanakan amanah menjaga rakyat ketika mana mereka sedang tersepit dengan suasana ekonomi yang terjejas teruk akibat Covid-19. Apatah lagi, UMNO sedang meniti jalan perpecahan implikasi daripada kegagalan presidennya mengawal “warlord” dalam parti mereka.


PRU-15 semakin dekat, UMNO punca sebenar orang Melayu Islam semakin berpecah, apabila kuasa di tangan mereka, tidak pernah menjadikan agenda utama penyatuan sepertimana yang dilaung-laungkan pada awal penubuhan kerajaan dahulu.


Adakah benar BERSATU dan PAS terus dibuli oleh UMNO? Persoalan inilah yang selalu ditanya oleh masyarakat dan orang politik. Hakikat daripada jawapan itu ialah, keikhlasan BERSATU dan PAS untuk menjaga kepentingan rakyat dan menjadikan isu kebajikan sebagai fokus utama, kalaulah sehingga dari sudut pandang rakyat seolah-olah sering dibuli oleh UMNO, itu merupakan pengorbanan yang harus dibayar oleh kedua-dua parti yang benar-benar berteraskan Melayu Islam ini. Agenda utama untuk mengangkat martabat rakyat secara keseluruhan dan menjaga kebajikan adalah suatu penterjemahan kepada kerajaan yang adil dan bertanggungjawab. Soal UMNO ingin meneruskan agenda rampasan dan perebutan kuasa yang tidak pernah cukup, itu terpulang pada mereka.


Selamat maju jaya UMNO!


-IbnuAziz







Comments


bottom of page