Parti menguasai kerajaan
KITA selalu mendengar kata-kata ‘parti menguasai kerajaan’ tetapi berapa ramai di antara kita yang benar-benar memahami maksud sebenar kata-kata tersebut? Atau adakah kita merasakan kita faham tetapi kefahaman kita adalah tidak tepat? Setiap parti politik memiliki prinsip, matlamat dan agenda masing-masing. Mereka memasuki pilihan raya dengan manifesto dan sekiranya mereka menang, mereka akan cuba memastikan manifesto itu dilaksanakan kecuali manifesto tersebut hanya untuk memancing undi dan mereka tidak pernah berhasrat untuk melaksanakannya. Sementara prinsip, matlamat dan agenda parti akan menjadi garis panduan dan mengawal segala tindakan-tindakan mereka di dalam kerajaan.
Walau bagaimanapun ia tidak semudah itu apabila sebuah parti membentuk kerajaan bersama parti-parti lain seperti di dalam kerajaan campuran. Tambahan pula jika parti-parti tersebut adalah dari aliran dan latarbelakang yang berbeza. Sudah tentu tidak semua yang dapat dicapai dalam sekelip mata. Setiap parti mempunyai agenda masing-masing. Ia memerlukan satu seni yang tersendiri untuk memastikan agenda-agenda ini terlaksana. Tolak ansur dan tawar menawar akan berlaku. Berbeza jika kerajaan dibentuk oleh satu parti. Mungkin keputusan-keputusan mesyuarat parti akan terus menjadi keputusan-keputusan mesyuarat kerajaan.
Wakil-wakil parti di dalam kerajaan seperti Menteri, Timbalan Menteri dan Exco Kerajaan Negeri mungkin boleh bersabar kerana mereka sudah tentu telah memikirkan perkara-perkara yang hendak dicapai, bagaimana hendak dicapai dan bila hendak dicapai. Tetapi bagaimana dengan ahli-ahli parti yang tidak memahami perjalanan kerajaan? Atau pimpinan yang tidak terlibat di dalam kerajaan? Sudah tentu akan wujud kekeliruan, salah faham atau rasa tidak puas hati sekiranya tidak berlaku komunikasi di antara mereka yang berada di dalam kerajaan dan mereka yang berada di luar kerajaan.
Tambahan pula kadang-kala terdapat mereka yang mahukan setiap perkara sama ada kecil atau besar perlu dirujuk kepada parti sebelum kerajaan membuat apa sahaja keputusan. Ini mustahil dilakukan kerana kerajaan bergerak begitu pantas. Terdapat perkara yang perlu disegerakan. Sekiranya ia jelas tidak bertentangan dengan prinsip, agenda atau matlamat parti, wakil-wakil parti di dalam kerajaan tidak perlu merujuk kepada parti. Mereka hendaklah diberi kepercayaan yang penuh.
Tetapi bagi perkara-perkara yang memerlukan pertimbangan parti seperti perkara-perkara yang baharu dan tidak terdapat ‘precedent’, ia perlu dirujuk kepada parti terlebih dahulu. Ketika saya adalah Exco Kerajaan Negeri Selangor, kami Exco-exco PAS pernah memohon agar kerajaan menangguhkan keputusan supaya dapat memberi peluang kepada kami untuk merujuk kepada parti kami. Malah pernah ada satu peristiwa di mana kami enggan menghadiri mesyuarat untuk memutuskan satu perkara yang begitu penting kerana ia diadakan secara tergesa-gesa dan pada pandangan kami perlu penjelasan.
Terdapat juga kes di mana, saya mahu diminitkan bahawa saya telah mengemukakan cadangan yang berbeza dari cadangan yang diluluskan oleh mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Besar. Ini adalah di antara perkara yang terpaksa dihadapi apabila kita berkongsi kuasa. Paling kurang saya telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya. Tetapi yang paling ekstrem adalah keluar dari kerajaan tetapi kita perlu cuba mengelakkan dari kemudaratan yang lebih besar.
Perkara-perkara seperti ini tidak dihebohkan. Apa yang berlaku di dalam mesyuarat kerajaan, kekal di dalam mesyuarat sahaja. Kami keluar dari mesyuarat dengan senyuman. Jika kami bertekak dan bergaduh di dalam mesyuarat sekalipun, hanya pegawai-pegawai kerajaan yang tahu. Akibatnya terdapat ahli-ahli yang melemparkan pelbagai tuduhan kononnya tidak buat kerja, tidak melawan atau menjadi ‘budak suruhan’. Ia tidak mematahkan semangat kami di dalam kerajaan kerana bukan semua orang dapat mencapai tahap kematangan berpolitik yang diharapkan. Ia adalah satu proses yang memakan masa.
Walau bagaimanapun yang penting adalah komunikasi di antara yang di dalam kerajaan dan yang di luar kerajaan. Walaupun bukan semua perkara perlu dirujuk namun jangan sampai mereka yang berada di luar kerajaan merasakan diri mereka diketepikan dan tidak lagi diperlukan. Penerangan dan penjelasan adalah penting. Ketelusan juga adalah penting. Mereka yang tidak mendapat maklumat yang jelas atau tidak mendapat gambaran yang sebenar akan membuat andaian-andaian yang akhirnya akan merugikan parti dan juga kerajaan.
Ketika di dalam Kerajaan Selangor dahulu, terdapat parti rakan ketika itu yang mengadakan mesyuarat biro politik mereka setiap minggu. Sudah tentu urusan kerajaan negeri adalah sebahagian dari agendanya. Justeru itu terdapat rakan di dalam kerajaan yang kelihatan begitu tertekan sekiranya mesyuarat pada malam sebelumnya ‘menghentam’ kerajaan kami. Ia memberi kesan kepada mood rakan kami pada hari tersebut dan sudah tentu memberi kesan kepada prestasi beliau.
Saya tidak mengatakan cara parti tersebut adalah yang terbaik kerana terdapat keburukan-keburukan seperti mengganggu perancangan yang telah dihasilkan. Ia juga boleh menyebabkan campur tangan politik yang keterlaluan di dalam kerajaan. Sebagai kerajaan yang dipilih rakyat, kepentingan rakyat perlu diutamakan. Walau bagaimanapun kewujudan ‘check and balance’ di dalam kerajaan adalah amat penting.
DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD Bendahari PAS Pusat
Comments