Mesyuarat Agong Perwakilan cukup sekadar diadakan di dewan biasa sahaja
Hujung minggu lepas majoriti Bahagian Parti Pribumi BERSATU Malaysia bermesyuarat untuk meneliti garis masa fB melintas ratusan gambar-gambar Mesyuarat Agong pelbagai bahagian. Rata-rata imej dewan besar, mewah dan gah. Pimpinan duduk penuh berprotokol di pentas. Cuma banyak bahagian yang duduk di kerusi bawah pentas banyak kosong. Ini digunakan modal oleh musuh untuk menyerang. Mesyuarat kerusi kosong kononnya.
Mungkin ramai tidak faham, Mesyuarat Agong Bahagian BERSATU dikendalikan secara perwakilan. Hanya perwakilan dipilih dari cawangan boleh hadir. Berbeza dengan PKR yang semua ahli dalam cabang boleh hadir.
Cawangan BERSATU juga terhad. Satu Daerah Mengundi (DM) hanya dibenarkan ada satu cawangan sahaja. Walaupun ada kawasan DM yang ramai penyokong tetapi hanya 1 cawangan sahaja dibenarkan oleh perlembagaan parti. Berbeza dengan UMNO yang boleh buka sebanyak manapun cawangan dalam satu daerah mengundi dengan syarat cukup 15 orang ahli.
Maka sudah tentu kehadiran mesyuarat sangat terhad. Ini lebih memberi kesan dengan wujudnya sebilangan besar cawangan dan peringkat penaja dan dimana hanya cawangan berdaftar sah sahaja boleh hantar perwakilan ke Bahagian.
Kehadiran itu bukan isu. Namun teguran yang nak dikongsi ialah kalau dah sedar kehadiran perwakilan terhad kenapa masih buat dalam dewan besar, mewah dan berprotokol yang menyusahkan? BERSATU ini parti marhaen Nasionalis (Pribumi) Kebangsaan. Untuk itu ia harus memberikan gambaran semasa kelas pertengahan kelompok diwakili.
Perlu dihentikan program atau aktiviti rapat di dewan berimej mewah. Kalau Mesyuarat Agong buatlah di dewan sekadar muat perwakilan. Benarkan pemerhati dari ahli, cawangan penaja dan perwakilan organisasi massa setempat. Tak perlu susun ikut protokol di mana pimpinan berada di atas pentas manakala perwakilan di bawah. Susun saja letak mesyuarat sama rata. Pemimpin dan perwakilan dalam bulatan biar bahas dan saling berdepan atau bentuk U. Paling tidak susun pembahas di depan dan perwakilan duduk berselang seli dengan pemimpin bahagian biar lebih mendengar.
Cadang juga usul-usul tak perlu poyo seperti angkat TSMY sebagai PM atau sedia bertanding situ dan sini. Memanglah TSMY Presiden yang akan kita angkat sebagai calon PM itu bukan rahsia atau sebagai parti kita sedia bertanding, nak buat apa buka parti kalau tak nak bertanding Pilihanraya. Maka itu semua usul poyo hanya pulih semangat.
Sebagai gerakan siasah Nasionalis (Pribumi) Kebangsaan sepatutnya angkat masalah rakyat. Segmentasi bermasalah rakyat seperti Nelayan yang berdepan dengan masalah hakisan atau tambak laut atau peniaga kecil terhimpit masalah lesen diroboh gerai atau kampung bermasalah hak milik tanah atau boleh sahaja sekumpulan pekerja kilang yang berdepan masalah gaji juga layanan majikan. Bagi mereka bercakap dalam sesi khas mesyuarat dan Bahagian angkat sebagai usul.
Maka BERSATU akan menjadi parti perjuangan yang mengangkat masalah rakyat ke pusat. Maka himpunan agong nanti akan terpekik dan bergema perbagai jeritan marhaenis.
Ayuh sama-sama. Ini parti kita, parti Nasionalis (pribumi) Kebangsaan. Ini parti marhaenis, yang kita perjuangkan bukan parti ini tapi yang kita perjuangkan ialah rakyat. Parti ini berdiri akan terus bernafas selagi rakyat mahukan Nasionalis (pribumi) Kebangsaan berintegriti diangkat sebagai pemimpin negara.
Che'gu Bard.
Comments