Kit Siang ‘boleh’ bakar api perkauman, agama?
DAP yang agak kurang bercakap sebelum PRU15, semakin mendiamkan diri sepanjang tempoh kempen selama dua minggu. Malah, dalam beberapa hari menanti keputusan pelantikan Perdana Menteri juga DAP tidak kelihatan.
Ada yang nakal mengusik sinis menyatakan DAP sedang melakukan uzlah iaitu mengasing diri bermeditasi dan muhasabah. Supaya nanti akan tampil dengan pendekatan sebaik-baik serta selunak mungkin di khalayak warga.
Tetapi waktu itu DAP hanyalah mengunci mulut dan tidak menonjolkan diri dari terlihat fizikal. Pun begitu, segala tabiat dan watak, nafsu dan tuntutan, gesaan dan desakan, telunjuk dan cengkaman DAP tidakpun berubah.
Sekalipun DAP mungkin cuba menahan diri, namun tidak dapat mengawal atau menyekat cauvinisme dan ultra kiasu pihak lain. Kerana radikalisme demikian hakikatnya tumbuh dari benih disemai DAP sendiri sejak sekian lama.
Seperti isu Dong Zong untuk Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf, pilihan raya Kerajaan Tempatan (PBT), serta tindakan kerajaan terhadap BERNAS. Sekurang-kurangnya tiga isu ini dilihat bahawa DAP wujud ‘di sebalik tabir’.
Itu belum lagi pandangan umat Islam terhadap isu pengguguran beberapa Pengerusi Kariah Masjid oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan larangan wakil rakyat memberi ucapan di surau atau masjid di Perak.
Penafian dan realiti
Sikap DAP menyinggung hal ehwal Islam bukanlah kali pertama atau keterlanjuran tidak disengajakan. Tetapi sejak dahulu konsisten celupar, biadab dan keras menzahirkan penentangan walaupun berkali-kali juga parti itu menafikan.
Sedangkan setiap kali menjelang PRU, DAP pasti akan memberikan penyataan bahawa parti itu menjunjung Perlembagaan Malaysia dan segala terma termaktub di dalamnya. Termasuk bersungguh-sungguh menyangkal parti itu anti-Islam.
Veteran ulung DAP, Lim Kit Siang sendiri antara paling giat menepis perkara tersebut dan sedaya-upaya meyakinkan kononnya DAP difitnah dan dimangsakan. Beliau akan paling ke depan memperisaikan DAP setiap kali berbangkit isu tersebut.
“Semasa bergelar Ahli Parlimen, saya melawat Mesir, Jordan, Turkiye, dan Indonesia untuk berjumpa dengan pemimpin Islam di samping mempelajari Islam yang saya lihat sebagai salah satu agama hebat dunia.
“Kita juga ada ADUN Melayu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak dan Pulau Pinang. Jadi bagaimana (Presiden PAS) Abdul Hadi (Awang) boleh menuduh DAP mempromosikan Islamofobia?” ujarnya baru-baru ini.
Tetapi sering kali apabila terdapat usaha untuk memperkasakan lagi Islam dalam negara, maka DAP muncul membantah. Malah, DAP cukup tegar mengembangkan salah faham, prasangka dan paranoid terhadap Islam.
Antaranya isu berkaitan arak, judi dan babi, selain momokan pentadbiran Malaysia akan menjadi seperti Taliban Afghanistan. Kit Siang juga begitu di mana paling terkini mengulas mengenai ‘Gelombang Hijau’ yang berlaku pada PRU15.
Halang Islam?
Kit Siang ternyata tidak menyembunyikan keresahan bahawa ‘Gelombang Hijau’ itu akan menjadikan Malaysia negara Islam sebelum PRU17 tahun 2032. Beliau seperti ‘mengarahkan’ Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya menyekat kebangkitan itu.
Kenyataan Kit Siang itu hanya mengesahkan betapa DAP sama sekali tidak pernah berubah. Sebaliknya mungkin semasa tempoh berdiam diri sebelum ini, parti itu sedang mengasah tajamkan lagi pisau permusuhan mereka.
Ini terang jelas satu gugatan melampau mengapikan sentimen perkauman dan agama yang ekstrem. Kit Siang telah menyalahi hak dan kebebasan bersuara dengan mencabar suatu peruntukan dalam undang-undang tertinggi negara.
Kenapa Kit Siang mahu menghalang sedangkan ia berlaku menurut lunas demokrasi yakni menerusi pilihan rakyat? Juga selaras peruntukan Perlembagaan Malaysia yang memartabatkan Islam sebagai Agama Persekutuan?
Adakah Kit Siang akan menggembleng ‘kuasa luar’ atau tindakan secara ‘luar tabii’ bagi menidakkan perkembangan tersebut? Apakah yang boleh ditakrifkan daripada reaksi beliau itu jika bukan kerana kebencian dan sikap anti-Islam?
Di mana reaksi Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamad Fadzil yang sebelum ini melontarkan amaran berkaitan isu tersebut? Namun, bagaikan mustahil Fahmi ada ‘keberanian’ untuk menegaskan pendirian sama kepada DAP!
Inikah maksud ‘Kita Boleh!’ yang menjadi slogan kempen Pakatan Harapan (PH)?
IZWAN ABDUL HALIM
Comments