Kiamat politik jika UMNO dan DAP bekerjasama – Penganalisis
Dr Mohammad Tawfik berpendapat, sekiranya UMNO dan DAP bekerjasama, kesannya akan dirasai kedua-dua parti di seluruh negara bukan hanya di Perak.
Kiamat politik akan berlaku kepada UMNO dan DAP sekiranya wujud kerjasama antara kedua-dua parti itu di Perak, kata Pensyarah Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakob.
Dr Mohammad Tawfik berpendapat, sekiranya UMNO dan DAP bekerjasama, kesannya akan dirasai kedua-dua parti di seluruh negara bukan hanya di Perak.
"Jika betul-betul ini terjadi, saya khuatir bahawa undi-undi Melayu akan lari daripada UMNO pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) dan undi-undi Cina akan lari dari DAP.
"Ini yang saya katakan kiamat politik. Perkara ini boleh berlaku dan merosakkan masa depan UMNO itu sendiri di seluruh negara bukan hanya di Perak," katanya kepada Astro AWANI.
Untuk mengelak daripada perkara itu berlaku, Dr Mohammad Tawfik mencadangkan agar hubungan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) segera dijernihkan.
Biarpun Bersatu terkesan dengan penolakan usul percaya yang dibuat oleh adun-adun UMNO kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, namun Dr Mohammad Tawfik percaya perkara itu boleh diselesaikan dengan rundingan.
"Sebenarnya tidak ada ketegangan politik yang luar biasa hanya penolakan individu sebagai Menteri Besar di Perak, di peringkat parti itu bagi saya tidak ada yang besar.
"Apa yang kita lihat hari ini dalam konteks politik Melayu ini, antara UMNO dan Bersatu semakin reda dan saya percaya ini kejayaan Pas sebagai orang tengah dalam pertembungan politik yang berlaku hari ini," katanya lagi.
Kemelut politik di Perak bermula selepas Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul percaya yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada sidang DUN, Jumaat lalu.
Kemelut politik di Perak tercetus setelah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim yang mewakili UMNO mengemukakan undi percaya kepada Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu.
Usul itu menyaksikan Ahmad Faizal tersingkir daripada jawatannya apabila hanya mendapat 10 undi sokongan manakala 48 Adun lagi tidak menyokong.
Abdul Manaf yang mengemukakan usul terbabit mengundi untuk tidak memberi sokongan manakala Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang meninggalkan Parti Amanah Negara (Amanah) dan kemudiannya menyertai Bersatu pula dilaporkan tidak mengundi.
sumber- Astro Awani
#UMNO #PAS #Bersatu #Perikatan Nasional #PN #DAP #kerjasama #kiamat
Comments