Haramkan tayangan Mentega Terbang – UMMAH
KUALA LUMPUR 2 Mac: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mendesak agar Menteri Hal Ehwal Agama dan Menteri Komunikasi dan Digital menahan dan menarik (menyekat) segera tayangan filem Mentega Terbang yang disiarkan melalui internet bermula pada 23 Jan lalu. Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, filem yang ditayangkan itu dikatakan tidak melalui tapisan Lembaga Penapisan Filem Negara.
“UMMAH sudah menonton filem itu dan mendapati intipati-intipati yang ada pada filem itu agak mengejutkan apabila melibatkan beberapa babak dan dialog yang mencurigakan dan mengaburi kemurnian dan kesucian agama Islam secara halus,” katanya.
Filem Merdeka Terbang, ujar beliau, seolah-olah cuba mengambarkan Islam yang liberal dan tolerasi agama yang tidak menepati prinsip keimanan akidah Islam yang sebenarnya.
“Hal ini telah memberikan gambaran Islam yang tidak tepat dan boleh mengelirukan generasi anak muda pada masa kini,” tegasnya.
Justeru UMMAH mendesak agar Menteri Hal Ehwal Agama dan Menteri Komunikasi dan Digital menahan dan menarik segera filem ini daripada terus ditayangkan serta perlu disiasat oleh satu jawatankuasa khas bagi meneliti kandungan filem ini yang boleh menjejaskan kesucian akidah umat Islam.
UMMAH juga turut menggesa agar Menteri Hal Ehwal Agama sentiasa peka dan tegas serta segera menangani isu-isu yang menyentuh kesucian dan keaslian agama Islam.
“Tujuannya adalah untuk memelihara kesucian agama Islam setiap masa sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya
Commentaires