Duit akaun 1 KWSP bukan untuk beli iPhone 12
Updated: Nov 30, 2020
MOHAMAD IZWAN ZAINAL ialah Exco Pergerakan Wira PUTRA Malaysia.
Semalam kita mendengar cadangan bekas PM agar diadakan pengeluaran wang bersyarat, one-off RM10,000 daripada akaun 1 bagi mereka yang memiliki akaun KWSP dengan syarat pembayaran semula dalam tempoh 2 tahun selepas ekonomi kembali pulih, yang mana tidak termasuk caruman bulanan ketika itu.
Bekas PM juga menasihatkan agar pemilik akaun di KWSP mengeluarkan hanya sekadar keperluan.
Persoalannya, mampukah rakyat Malaysia dapat memastikan mereka sendiri tidak mengeluarkannya dan hanya guna sekiranya ada keperluan mendesak? Dengan faktor rakyat Malaysia yang mempunyai kuasa membeli yang tinggi.
Wira PUTRA yakin pengeluaran KWSP akaun 1 ini amat baik, dalam merangsang ekonomi tempatan demi memastikan ada pengaliran tunai dalam negara.
Namun begitu, dalam memastikan pengeluaran yang dibuat ini dapat mencapai matlamat, apakah matlamatnya sebenar yang digariskan? Menangani kesusahan rakyat ketika ini dalam menghadapi suasana ekonomi yang mencabar selagi mana covid19 masih berlegar dalam negara.
Wira PUTRA ingin mencadangkan, pengeluaran KWSP akaun 1 perlu menggunakan kaedah “Tuntutan Balik” atau “Bayaran Terus”. Bermaksud, kerajaan perlu meletakkan syarat-syarat tertentu untuk pengeluaran wang KWSP.
Contoh, Ahmad diberhentikan kerja setelah syarikat lama beliau mengecilkan operasi. Ahmad perlu mencari sumber pendapatan baru, lalu ahmad bercadang nak buat Grab Food.
Tetapi ahmad tiada kenderaan yang bersesuaian. Ahmad perlukan sebuah motosikal. Nak keluarkan motosikal perlukan deposit. Jadi melalui pengeluaran KWSP, ahmad ada pilihan untuk membayar 10% deposit terlebih dahulu, dan membuat “Tuntutan Balik” daripada kwsp atau 10% deposit dibuat secara “bayaran terus” daripada KWSP kepada kedai motosikal yang berdaftar dengan SSM.
Contoh lain, Abu ada kedai makan, dalam situasi PKPB ini, jualan di kedai makannya merosot 50 peratus. Abu ada anak kecil berusia 1 tahun, dan 3 tahun.
Melalui data di Jabatan Pendaftaran Negara juga mengesahkan yang Abu ni ada anak berusia 1 tahun dan 3 tahun. Abu boleh mengeluarkan sejumlah wang KWSP miliknya dari akaun 1 untuk membeli pampers dan susu untuk anak-anaknya juga untuk membayar pengasuh, dengan cara “tuntutan balik” atau “bayaran terus” sepertimana contoh sebelumnya.
Ini dengan syarat pengasuh juga perlu berdaftar dengan jabatan yang sepatutnya.
Dengan cara sebegini dapat mengawal pencarum akaun 1 daripada membeli perkara-perkara yang tak sepatutnya, dalam memastikan tujuan asal pengeluaran KWSP adalah membantu pencarum, bukannya bertujuan untuk membeli Iphone 12.
Comments