top of page
Farah

Belum ada bencana dahsyat seperti ini – Setiausaha Agung PBB


KARACHI,12 Sept: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata bahawa dia tidak pernah melihat korban beramai-ramai disebabkan perubahan ekstrem iklim pada skala yang begitu besar seperti yang berlaku di Pakistan ketika ini. “Saya hilang kata-kata untuk menggambarkan apa yang saya lihat hari ini,” katanya pada sidang media di bandar pelabuhan Karachi baru-baru ini selepas menyaksikan kerosakan paling teruk di selatan Pakistan, dengan jumlah korban setakat ini mencecah 1,396, lapor ARY


Beliau berkata, ramai keluarga telah kehilangan rumah mereka, dan banyak hasil tanaman dan ternakan musnah, menyebabkan sokongan kewangan yang besar adalah keperluan pada masa ini di negara tersebut.


“Apabila planet (bumi) kita berterusan menjadi panas, semua negara akan semakin mengalami kerugian dan kerosakan akibat perubahan iklim yang ekstrem di luar kemampuan untuk menyesuaikan diri. Ini adalah krisis global. Ia menuntut tindak balas global.

“Saya terharu dengan kemurahan hati orang-rang yang terjejas akibat bencana banjir ini terhadap satu sama lain di Pakistan. Mereka telah membuka rumah mereka dan berkongsi apa yang mereka ada,” tambahnya.


Sementara itu, Al Jazeera melaporkan Pakistan menerima hujan lebat, semasa musim tengkujuh tahunannya, yang penting untuk pertanian dan bekalan air tetapi hujan yang sangat lebat pada tahun ini tidak pernah dilihat selama beberapa dekad, manakala glasier yang mencair dengan cepat di bahagian utara negara itu meningkatkan tekanan tambahan pada laluan air.

“Negara yang lebih kaya bertanggungjawab secara moral untuk membantu negara membangun seperti Pakistan pulih daripada bencana seperti ini, dan menyesuaikan diri untuk membina daya tahan terhadap kesan iklim yang malangnya akan berulang pada masa hadapan,” kata Guterres yang menegaskan bahawa kumpulan negara G20 yang menyebabkan berlakunya pelepasan gas rumah sebanyak 80 peratus di bumi.


Menurutnya, Pakistan hanya bertanggungjawab untuk kurang daripada 1 peratus pelepasan gas rumah hijau global, tetapi berada di tempat kelapan dalam senarai yang disusun oleh NGO Germanwatch negara yang paling terdedah kepada cuaca ekstrem yang disebabkan oleh perubahan iklim.


Guterres mengeluh kurangnya perhatian dunia terhadap perubahan iklim, khususnya dari negara-negara perindustrian.

“Ini adalah kegilaan, ini adalah bunuh diri kolektif,” katanya

Comments


bottom of page