Bantuan melalui JPP ‘isyarat’ laungan refomasi dan demokrasi hanya kosmatik dan retorik
KERAJAAN Pusat yang kini diketuai Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bantuan banjir RM100 juta iaitu masing-masing RM50 juta kepada Kelantan dan Terengganu. Terima kasih diucapkan.
Pemberian bantuan bagi menangani kesan bencana ke atas rakyat dan negeri seperti itu adalah satu tanggungjawab. Ia bukanlah untuk meraih kepentingan tertentu atau dijadikan kesempatan kempen politik, walaupun ada yang berbuat begitu.
Tetapi pemberian bantuan itu akan dilihat mempunyai agenda politik apabila ia tidak diperuntukkan menurut saluran yang sepatutnya. Dimaklumkan, peruntukan tersebut disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).
Jika konsep Federalisme atau Persekutuan dihormati, penyaluran bantuan itu sebetulnya perlulah melalui Kerajaan Negeri. Sebaliknya, Anwar seperti mengisyaratkan sikap, tabiat atau belang politik pentadbiran beliau.
Ia tidak mengejutkan, kerana tindakan tersebut menyerlah nyatakan karakter sebenar Anwar yang mungkin ada segelintir rakyat belum mengetahuinya. Itulah retorik di sebalik laungan reformasi, demokrasi dan hak asasi sering beliau laungkan.
Menunjukkan perjuangan beliau selama ini adalah kosmetik dan hipokrit bagi mencapai hambatan peribadi. Bukan untuk martabat agama, bangsa dan negara, tetapi persaingan dan perebutan jawatan dan kuasa semata-mata.
Itulah makna politik bagi beliau dan para politikus sepertinya. Kini beliau menjejaki atau mengulangi semula langkah mual dengan memperanankan JPP mungkin di semua negeri-negeri ditadbir PAS atau PERIKATAN NASIONAL (PN).
Apapun manis terma-terma tugas JPP akan digariskan nanti, ia sama sekali tidak dapat menafikan bahawa tindakan tersebut adalah satu bentuk anak tiri, diskriminasi, campur tangan dan penuh muslihat serta motif politik.
JPP dalam sejarahnya cuma ada di Kelantan, Sabah dan Terengganu kerana ditadbir parti yang tidak sama dengan parti pemerintah Persekutuan. Tetapi hanya kekal di Kelantan sejak ia beroperasi dari tahun 1991 kerana Serambi Makkah ini berterusan dimenangi PAS.
Kewujudan JPP di ‘negeri pembangkang’ juga satu bentuk onar seperti ‘kerajaan dalam kerajaan’ yang hakikatnya langsung tidak membantu sebarang tadbir urus dan pembangunan ke tahap lebih baik.
Tambahan pula, Umno-Barisan Nasional (BN) meninggalkan beban hutang sebanyak RM760 juta ketika PAS-Angkatan Perpaduan Ummah (APU) mengambil alih teraju Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1990 itu.
Dengan kewujudan JPP, ia tidakpun membantu menyelesaikan hutang itu, namun kepimpinan PAS berjaya menyelesaikan hutang-hutang tersebut hasil kecekapan dan integriti pentadbiran di bawah dasar Membangun Bersama Islam.
Walaupun PAS akhirnya solo selepas itu setelah Semangat 46 kembali ke pangkuan Umno, namun pemerintahan pentadbiran yang dipacu biarpun penuh kekurangan tetap mendapat sokongan dukungan padu rakyat Kelantan.
Malah, dalam tempoh lebih suku abad tidak dibantu itu, termasuk melalui zaman Anwar selaku Menteri Kewangan ketika itu, Kelantan tetap berjaya berdikari sendiri dengan taraf hidup rakyatnya agak baik berbanding beberapa negeri diperintah Umno-BN.
Dengan pengalaman Kelantan itu diyakini, seandainya Anwar menghadapkan pemisahan serupa terhadap negeri-negeri lain terutama Terengganu, Kedah dan Perlis, insya-Allah mereka juga mampu bertahan dan tetap mengalami pertumbuhan seperti Kelantan.
Tetapi akan diingati rakyat terutama Melayu-Islam yang merupakan penduduk terbesar negeri-negeri tersebut, adalah betapa Anwar dan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersama BN begitu mengkhianati mereka.
NAZMAN CHE IBERAHIM Darulnaim Research Centre
Comentarios