top of page
admin

Banjir bawa rezeki tak terduga kepada penduduk sekitar Chaah


SEGAMAT 7 Mac: Banjir yang melanda daerah ini membawa rezeki tidak terduga kepada sebilangan penduduk yang mengambil kesempatan menjaring ikan di kawasan yang dinaiki air.


Seorang pekerja estet, Mohd Rizan Hamzan, 33, berkata, dia bersama ahli keluarga dan rakan-rakannya sudah empat hari memasang jaring di sekitar Empangan Sungai Bekok, Chaah Baru, di sini.


"Saya saja suka-suka. Bila dapat ikan, saya kongsi rezeki dengan jiran untuk dibuat lauk di rumah. "Kami pasang dua jaring. Alhamdulillah, setakat ini sudah dapat hampir 20 kilogram ikan dan dibahagi dengan kawan serta ahli keluarga," katanya di sini pada Isnin.


Dia yang tinggal di rumah estet ladang kelapa sawit berdekatan berkata, antara ikan yang berjaya diperoleh ialah jelawat, keli, talapia dan lampam.


Rakannya, Faizal Mohamad, 21, pula berkata, ikan yang ditangkap itu ada antaranya dipercayai datang dari kolam ikan berdekatan yang melimpah.


Selain itu, katanya, ikan-ikan air tawar itu juga dipercayai datang melalui limpahan air Empangan Sungai Bekok.

"Ikan ini kami buat lauk untuk makan sendiri selain beri kepada jiran, memang banyak ikan yang kami dapat.

"Kami selalu juga turun memancing atau pasang pukat apabila tiba musim tengkujuh, tetapi (rasanya) ini antara hasil paling banyak pernah kami dapat," katanya yang tinggal di Kampung Haji Mian, Batu 17, Chaah Baru, di sini.


Tinjauan Bernama di sekitar kawasan itu turut mendapati selain penduduk kampung, ramai warga asing turut mengambil kesempatan menjala ikan bagi mendapatkan lauk "percuma" untuk hidangan di rumah.


-- BERNAMA

Comments


bottom of page