top of page
cik skod

"Bagusnya rakyat Malaysia ini"-Adi Saifullizam


IPOH 11 Jan: Pengorbanan seorang bapa yang tinggal di dalam kereta Proton Satria sementara menunggu anaknya yang menghidap tumor otak dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, meraih simpati orang ramai yang menghulurkan bantuan tanpa henti.


Adi Saifullizam Abdul Sani, 40, berkata, selepas gambar yang dikongsinya dalam kumpulan sembang menjadi tular, banyak pihak memberikan kata-kata semangat dan mendoakan agar anaknya, Muhammad Afeef Mikail, 8, kembali sihat.


Bapa kepada tiga orang anak itu juga tidak menyangka maklumat tersebut tular kerana perkongsian yang dibuat hanyalah untuk rakan-rakan dan memohon agar mereka mendoakan kesembuhan anaknya, bukan untuk meraih simpati seluruh rakyat. "Bagusnya rakyat Malaysia ini, mereka memang prihatin tentang permasalahan apa yang berlaku di kalangan kita. Saya tidak putus-putus mendapat ucapan yang mendoakan kesejahteraan anak saya, malah ada juga yang beri sumbangan.

"Terima kasih kepada yang mendoakan kesihatan dan kesembuhan anak saya. Mana yang telah menderma tak kiralah wang tunai atau makanan kepada saya, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan letak kereta HRPB, di sini, hari ini.


Menurutnya, sumbangan diterima dari pelbagai pihak, termasuk daripada bukan Muslim, malah ada yang datang dari Pulau Pinang semata-mata untuk menghulurkan sumbangan.

Di samping itu, katanya, pengurusan Masjid Muhibbuddin Shah yang terletak berhampiran HRPB turut menawarkan tempat penginapan memandangkan ada pihak yang mahu menanggung perbelanjaan sewa sepanjang keberadaannya di hospital berkenaan.


Bercerita lanjut, Adi Saifullizam berkata, anak bongsunya itu disahkan menghidap tumor oleh pihak hospital selepas pada asalnya hanya terdapat bengkak pada bahagian mata.

Bagaimanapun, ujarnya, setakat ini, kaedah dan kos rawatan belum diketahui sepenuhnya.

Dia yang tinggal di Felda Trolak Utara reda dengan ujian yang diberikan walaupun berat untuk menerima keadaan itu dan akan mencari rawatan terbaik untuk memastikan anaknya sembuh.


Dua lagi anaknya, Dhia Irdina, 15, dan Muhammad Aqeef Firdaus, 12, buat masa ini tinggal sementara dengan ibu saudaranya.

"Kekuatan saya datang daripada anak-anak yang ada di rumah, isteri saya dan juga anak yang sakit ini. Kalau kita lemah, dia lagilah teruk. Memang saya menangis tapi tidak tunjuk depan anak, saya lari ke belakang.

"Sebab itulah saya ambil keputusan untuk duduk di kereta, saya seorang-seorang dan kalau saya menangis pun orang tak nampak," katanya dalam nada sebab.

Dalam pada itu, Adi Saifullizam memohon seluruh rakyat Malaysia terus mendoakan anaknya kembali sihat seperti sedia kala dan jika berkemampuan selepas ini, dia akan membantu mereka yang memerlukan.


Astro Awani

Comments


bottom of page