top of page
cik skod

Amir Jahari mohon maaf kepada Mas Ermieyati


Selepas kontroversi penggunaan lagu Hasrat, penyanyi dan komposer, Amir Jahari tampil memohon maaf kepada Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.


Menerusi hantaran di laman Twitter pada Selasa, Amir atau nama penuhnya Mohamad Amirullah Jahari berkata, permohonan maaf itu dibuat atas kesilapannya memilih kata dan cara yang tidak baik dalam membuat teguran tempoh hari.

"Saya berharap Yang Berhormat Mas Ermieyati sudi untuk memaafkan segala khilaf saya. "Perkara yang terjadi ini memberi pengajaran besar buat saya agar lebih menjaga adab dan kata-kata saya kepada orang yang lebih tua dan sesama insan," katanya dalam entri berkenaan hari ini.

Bagaimanapun, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu menegaskan pendiriannya adalah sama untuk tidak membenarkan karyanya digunakan oleh sesiapa sahaja bagi tujuan politik dan perkara yang boleh memporak-perandakan keadaan.


"Memang agak kasar cara saya menegur, tapi tetap saya menegakkan bahawa lagu saya bukan untuk agenda politik, itu sahaja. Hentikan kebencian semua, sebarkan cinta," tulisnya lagi.


Sebelum ini, Mas Ermieyati memohon maaf kepada Amir kerana menggunakan lagu tema filem Imaginur, Hasrat sebagai lagu latar untuk hantaran video semasa berada di Mahkamah Kuala Lumpur susulan pendakwaan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.


Jelas Mas Ermieyati, beliau sedia menurunkan semula hantaran menggunakan lagu berkenaan dan 'menggantikannya' dengan lagu lain seperti lagu nasyid atau lagu penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Commenti


bottom of page