Al-kisah Usul Undi Percaya
Kemelut berkaitan siapakah Perdana Menteri Malaysia ke-9 telah pun terurai apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat calon berpotensi menggalas jawatan itu mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada pukul 2.29 petang semalam yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen serta laman Facebook Pejabat Perdana Menteri.
Ahli parlimen Bera, dan juga Naib Presiden UMNO itu merupakan Perdana Menteri pertama yang tidak menjadi Ketua atau Timbalan Ketua Parti politik, malah yang paling cepat dilantik sebagai Perdana Menteri setelah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri Julai lalu.
Selesai satu bab, kita buka pula bab seterusnya apabila usul undi percaya di dalam Dewan Rakyat mula didendangkan. Mana tidaknya, apabila mantan Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin Yassin secara terang-terangan mengingatkan sokongan dari Perikatan Nasional (PN) merupakan sokongan bersyarat seperti yang kita sudah sedia maklum.
Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, di dalam ucapan tahniahnya kepada Ismail Sabri Yaakob kerana mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia mengingatkan PM baru agar segera membuktikan bahawa dia mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat. Hanipa sebelum ini menyatakan keraguannya terhadap sokongan yang diperolehi Ismail Sabri, khususnya dari BERSATU kerana kenyataan media Presiden BERSATU yang jelas hanya memberikan sokongan bersyarat dan tidak muktamad dan ia melanggar arahan jelas Yang Di-Pertuan Agong.
Oleh itu, kata pemimpin Amanah itu, usul undi percaya di Dewan Rakyat seperti yang diperintahkan oleh Yang Di-Pertuan Agong mesti dibawa oleh Kerajaan dan ia perlu dipercepatkan. Pakar Perlembagaan Negara berbeza pendapat terhadap keperluan usul undi percaya ini dimana ada yang bersetuju diadakan dan ada yang mengatakan ia tidak perlu. Mengetahui perihal ini, Hanipa berpandangan mereka yang cuba berhujah kononnya kini tidak wajib dibuat usul undi percaya di Dewan Rakyat, pada hematnya kenyataan sebegitu amat tidak wajar, mengelirukan dan boleh dengan sewajarnya ditafsirkan seperti tidak menghormati titah Agong tersebut sedangkan Agong secara jelas mengkehendaki pelantikan itu diabsahkan melalui usul undi percaya di Dewan Rakyat.
Justeru itu,bagi Hanipa usul undi percaya di Dewan Rakyat seperti mana titah Agong, adalah wajib dan mesti dibawa oleh pihak Kerajaan di Dewan Rakyat pada Sidang Parlimen ini dan ia perlu menjadi agenda yang perlu disegerakan.
Berbeza pandangan dengan Hanipa, Prof Madya Dr. Shamrahayu Abd Aziz menegaskan tentang undi percaya kepada perdana menteri yang baharu dilantik, terutamanya pelantikan bukan hasil daripada pilihan raya dari segi kedudukan undang-undang adalah seperrti berikut:-
i. Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk memberi pengesahan kepada perkenan Yang Di-Pertuan Agong dalam hal pelantikan Perdana Menteri.
ii. Tiada peruntukan dalam Perlembagaan tentang undi percaya. Ia adalah amalan atau adat perlembagaan yang tidak mengikat sehinggalah ia menjadi suatu undang-undang dengan cara dikanunkan atau diiktiraf oleh mahkamah.
iii. Pelantikan Perdana Menteri adalah sah setelah mendapat perkenan Seri Paduka Yang Di-Pertuan Agong dan seterusnya berlakunya upacara menandatangani suratcara pelantikan, sumpah taat setia dan sumpah simpan rahsia yang kemudiannya lantikan tersebut hendaklah diwartakan.
iv. Sekiranya Tuanku titah untuk diadakan undi percaya, itu adalah bagi tujuan mengukuhkan kedudukan seorang perdana menteri, atau sesebuah kerjaan, bukan untuk memberi pengesahan kepada perkenan yang telah diberikan oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Jelas, beliau menegaskan Kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah amat berwibawa dan ia tidak perlu disahkan oleh mana-mana pihak, termasuk Parlimen. Dengan erti kata lain, tiada sesiapa pun boleh mempertikaikannya.
Walaupun negara kita mengamalkan dasar Demokrasi Berparlimen, Parlimen adalah badan yang patut menurut dan taat kepada perkenan baginda. Ia adalah kuasa budi bicara Baginda. Membenarkan ia wajib disahkan oleh Parlimen dalam apa cara sekalipun ia akan merendah-rendahkan kuasa budi bicara/perkenan baginda.
Saya tertarik dengan kenyataan ke-3 beliau di mana perlantikan Perdana Menteri adalah sah setelah mendapat perkenan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan seterusnya berlakunya upacara menandatangani suratcara pelantikan, sumpah taat setia dan sumpah simpan rahsia yang kemudiannya lantikan tersebut hendaklah diwartakan. Tiada sesiapa pun yang menafikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang baru kerana beliau telah pun diperkenankan dan istiadat perlantikan talhpun dilaksanakan.
Saya juga bersetuju bahawasanya, tiada peruntukan dalam Perlembagaan tentang undi percaya. Ia adalah amalan atau adat perlembagaan yang tidak mengikat sehinggalah ia menjadi suatu undang-undang dengan cara dikanunkan atau diiktiraf oleh mahkamah, cumanya kita perlu kembali merujuk Perkara 43 (4) dimana Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Sekiranya usul undi percaya kepada PM dibawa ia bukan sahaja menjunjung titah perintah YDPA untuk segera membawa usul ini, tetapi untuk membuktikan kukuhnya sokongan PM untuk menerajui negara. Tidak pernah terfikir di benak minda untuk merendah-rendahkan titah baginda YDPA mahupun mempersoalkan budi bicara baginda, akan tetapi sekiranya PM baru gagal meraih sokongan majoriti mudah ketika usul undi percaya di dalam sidang Dewan Rakyat, maka seharusnya PM baru kita juga meletakkan jawatan selaras dengan Perkara 43 yang disebutkan di atas. Mudah dan rasionalkan?
Saya juga sependapat dengan Prof Dr. Shamrahayu, sangat mengambil berat tentang fungsi perkenan yang dibuat oleh YDPA kerana saya tidak mahu kemudian hari nanti orang ramai atau para pemain demokrasi menyatakan perkenan baginda boleh disahkan oleh Parlimen kerana ia seolah-oleh memperlekehkan kuasa budi bicara dan kemuliaan baginda, malah Parlimen tidak diberikan kuasa oleh Perlembagaan untuk memberi pengesahan kepada kuasa baginda YDPA. Cuma yang dimaksudkan saya di sini adalah sekiranya ketika usul undi percaya yang dibawa menunjukkan PM tidak mempunyai majoriti mudah, pastinya keabsahan kerajaan akan dipertikaikan dan diragui. Maka dengan ini Perkara 43 tadi adalah penyelesaian terbaik pada PM dan pastinya negara akan kembali kepada kemelut politik yang tidak berkesudahan kerana kedudukan sokongan antara blok kerajaan dan pembangkang sentiasa berubah-ubah dan tiadanya undang-undang Anti-Lompat ketika ini.
Zaman politik dominan sudah berlalu. Kini waktu menerima realiti kebergantungan antara parti dengan memperkasakan budaya kerjasama. Mana-mana parti yang ingin terus hidup, sangat bergantung kepada keupayaan untuk berunding dan membentuk satu konfigurasi kerjasama yang mungkin tidak sama dengan sebelumnya. Budaya politik konfrantasi, budaya politik ‘demand’, politik ugut yang menggunakan kuasa untuk menggugat keseimbangan, ini semua harus dihentikan. Malah suka untuk saya ingatkan di sini agar PM baru kita berpegang pada syarat yang diletakkan oleh kumpulan di dalam Perikatan Nasional sebelum mereka memberi sokongan penuh kerana janji seharusnya ditepati. Jika tidak diendahkan, adalah tidak mustahil kerjasama yang terbentuk akan terlerai dan PM baru kita bakal menjadi PM paling singkat perkhidmatannya dalam sejarah negara. Adalah sangat kritikal untuk mencari titik persamaan, bukan perbezaan di dalam suasana politik hari ini dan yang paling penting usaha berterusan kearah membentuk semula gabungan kekuatan orang Melayu dan umat Islam dalam satu arah yang betul kerana inilah kumpulan teras negara. Ingat, kestabilan negara sangat bergantung kepada kumpulan teras ini.
Apa sahaja pilihan Ahli-ahli Dewan Rakyat ketika usul ini dibawa, suka untuk saya ingatkan di sini sekiranya kestabilan kerajaan diganggu, rakyat akan menanggung akibat ketika negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi. Kerajaan adalah disarankan untuk cuba membuka ruang pentadbiran kerajaan dengan bantuan kepakaran teknokrat melalui lantikan Senator. Ini sangat penting dalam mengembalikan era kegemilangan Malaysia sebagai Harimau Asia di dalam pertumbuhan sektor ekonomi walaupun dilihat sedikit optimistik, tetapi saya yakin kita mampu melakukannya.
--PN Online
Comentários